PAS petang ini memberikan pencerahan mengenai pendirian sebenar mereka mendepani kerajaan perpaduan yang diterajui Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pendirian rasmi parti itu adalah seperti yang terpapar pada kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN).
Dengan kenyataan itu, PAS dilihat sudah memuktamadkan peranan mereka untuk tidak bersama dengan kerajaan pusat, sebaliknya tekal dengan PN.
"Kenyataan Pengerusi PN (Muhyiddin Yassin) adalah keputusan rasmi kami," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Secara umum orang ramai sebelum ini melihat berlaku percanggahan pendapat mengenai sikap PN berhubung pembentukan kerajaan perpaduan yang disarankan Yang di-Pertuan Agong.
Keengganan Muhyiddin kepada penubuhan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) dinyatakannya kepada Agong dalam sesi menghadap di Istana Negara pada 22 Nov lalu.
Bagaimanapun selepas mengangkat sumpah jawatan dan menjadi perdana menteri secara rasmi semalam Anwar menyatakan kesediaannya membawa masuk PN ke dalam kerajaan di sebalik reaksi yang tidak memberangsangkan ditunjuk gabungan terbabit.
Pagi tadi Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata PN akan membincangkan tawaran Anwar untuk menyertai kerajaan perpaduan.
Katanya PAS juga meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi mereka dalam PRU ke-15 lalu.
Cuma berbeza perkataan
Tidak lama kemudian Muhyiddin menyatakan akur dengan pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui PH dan PN akan memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan.
“Dengan kerajaan persekutuan diterajui oleh PH, PN akan memainkan peranan semak dan imbang dalam parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen.
“Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip prihatin, bersih dan stabil,” katanya.
Petang ini pula Muhyiddin mengesahkan PN akan menjadi pembangkang namun terbuka untuk merintis kerjasama dalam bentuk lain dengan kerajaan.
Ia sekali gus mengisyaratkan PN bersedia mencari persefahaman dengan Putrajaya tanpa mengecilkan peranan mereka sebagai pembangkang.
Kata Tuan Ibrahim PAS juga mengucapkan tahniah kepada Anwar yang dilantik sebagai perdana menteri baru Malaysia dan mendoakan agar negara ini berada dalam keadaan aman serta harmoni.
"PAS berharap perdana menteri dapat berlaku adil kepada semua ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat, serta mempertahankan pembangunan yang seimbang antara negeri-negeri," katanya.
Sementara itu Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, yang dihubungi Malaysiakini turut membuat penegasan yang sama.
Kata Ahmad Faizal tidak ada sebarang perbezaan pendirian di antara PN dan PAS berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi parti terbabit.
Menurut bekas ahli parlimen Tambun itu, perbezaan yang ditanggapi orang ramai itu sebenarnya hanyalah isu perbezaan perkataan yang digunakan saja.
"Tidak, saya tidak percaya itu (PAS tidak senada dengan Bersatu).
"Kami berbincang sebelum masing-masing keluarkan kenyataan dan apa yang dinyatakan adalah perkara yang sama dengan perkataan yang berbeza.
"PAS juga menyebut yang mereka menghormati pelantikan Anwar sebagai perdana menteri, tapi peranan kami itu selari.
"Kami kata: okey, kami akan berbincang... ada peranan kami dalam kerajaan perpaduan," tegasnya.
Malah, Ahmad Faizal berkata PN kini kekal utuh bersama dan sentiasa senada dalam setiap keputusan yang dibuat kepimpinan tertingginya.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Takiyuddin katanya, pendirian yang dibuat PAS sama saja dengan apa disebutkan Muhyiddin semalam.
"Tak ada beza, cuma perkataan yang digunakan saja beza.
"Satu, dia tak kata kita akan bersama dalam kerajaan perpaduan sebaliknya kita akan pertimbangkan dan ini sama (dengan kenyataan Muhyiddin).
"Hamzah Zainuddin juga dalam kenyataan ringkas dia sebelum Datuk Seri Anwar angkat sumpah menyatakan perkara yang sama sebab apabila Agong bertitah kita perlu menghormatinya.
"Itu yang kami nyatakan tapi pada masa yang sama kita akan pertimbangkan bersama, tidak ada parti boleh buat keputusan sendiri," tambahnya.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment