NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pakatan PH-BN berisiko diperingkat jangka panjang, kata penganalisis

PETALING JAYA: Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri tahun depan mampu meningkatkan peluang menang, namun hanya untuk tempoh singkat, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata kerjasama dua gabungan itu membuka lebih peluang meraih undi Melayu di enam negeri yang mampu menjejaskan sokongan diterima Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan orang Melayu pada pilihan raya umum, baru-baru ini.

“PN boleh tewas kerana pengundi Melayu-Islam lebih cenderung untuk mengundi parti yang berkuasa di kerajaan pusat,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Azmi berkata, pakatan pilihan raya BN-PH itu juga meletakkan dua gabungan itu dalam risiko dari semasa ke semasa susulan BN hilang statusnya menjuarai hak Melayu-Islam kerana bersekutu dengan DAP, parti komponen dalam PH.

Justeru, BN boleh kehilangan penguasaannya terhadap pengundi akar umbinya.

“PH pula akan hilang dominasi di kerajaan pusat memandangkan dakwaan BN mempengaruhi gabungan itu,” katanya sambil menyatakan kedua-dua blok itu perlu membuktikan sesuatu kepada pengundi Melayu-Islam.

“Dari sudut strategik, saya tidak fikir mereka sepatutnya membentuk pakatan pilihan raya di negeri mahupun di peringkat pusat sehinggalah beberapa bulan akan datang (hingga membuktikan kerjasama dirangka mempunyai rekod positif).”

BN dan PH antara parti bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, di Pahang dan Parlimen Padang Serai, Kedah, susulan kematian dua calon sebelum pilihan raya umum berlangsung, pada 19 Nov.

Pada Sabtu, calon PH Padang Serai, Sofee Razak, mahu calon BN, C Sivaraj berundur memandangkan partinya sudah menyokong PH membentuk kerajaan. Dalam maklum balasnya, calon dari MIC itu berkata Sofee yang sepatutnya membuka laluan kepadanya mengambil kira beliau “sudah bekerja di kawasan itu” sejak tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, calon BN Tioman, Johari Hussain, mengalu-alukan calon PH yang bersedia memberi laluan kepadanya bertanding di kerusi terbabit.

Pilihan raya negeri di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan akan diadakan selepas tamat penggal DUN masing-masing, tahun depan. Enam kerajaan negeri itu sebelum ini memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing walaupun berlaku pembubaran Parlimen.

James Chin dari University of Tasmania, berkata penyokong mungkin tidak terbuka dengan pakatan pilihan raya antara PH dan BN terutama membabitkan pilihan raya lebih besar.

Bagaimanapun, beliau percaya pakatan itu boleh berlaku pada pilihan raya Padang Serai dan Tioman mengambil kira ia tidak banyak memberi kesan terhadap jumlah keseluruhan kerusi di Parlimen mahupun dalam kerajaan Pahang.

“Saya fikir ada ruang untuk dua gabungan itu meneroka kerjasama kerana sekiranya mereka tidak bersatu, mereka hanya memberi laluan kepada PN untuk menang,” katanya sambil menambah penyelesaian terbaik adalah PH dan BN masing-masing mengambil satu kerusi daripadanya.

“Bagaimanapun, ia bukan jaminan untuk menang, namun ia bermakna undi dapat disatukan jika satu daripadanya menarik diri bagi memberi gambaran kepada penyokong bahawa mereka adalah sama (parti berada dalam kerajaan), jadi meningkatkan lebih peluang untuk mengundi calon (dalam kerajaan).”

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo