NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Padang Serai perlu pengundian semula atau tidak? - Maklumat Awal


Kematian calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Padang Serai M Karupaiya menimbulkan ketidakpastian sama ada pengundi di kawasan itu masih perlu mengundi pada hari Sabtu ini atau tidak.

Ketidakpastian ini susulan pentafsiran berbeza berhubung peraturan pilihan raya tentang apa yang berlaku jika calon meninggal dunia semasa tempoh berkempen.

Perkara 6 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) menyatakan sekiranya calon meninggal dunia atau hilang kelayakan "sebelum mengundi", maka pilihan raya di kerusi itu mesti dibatalkan dan pengundian baru mesti diadakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, dalam kes Padang Serai - pengundian awal telah pun berlangsung semalam, menyebabkan kekeliruan bagaimana untuk menafsir peraturan itu - sama ada pengundian dikira bermula pada Sabtu ini, atau pengundian dianggap bermula pada hari pengundian awal.

Mendiang M Karupaiya

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata perkembangan ini adalah sesuatu yang di luar kelaziman.

"Saya fikir pengundian bermula pada hari pengundian (19 Nov). Jika kita mengambil pengundian awal pada 15 Nov (sebagai permulaan pengundian), maka kita perlu menganggap (pengundian bermula dengan) pengundi pos tentera yang mengundi pada 7 Nov, hanya dua hari selepas hari penamaan calon," katanya kepada Malaysiakini.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram berkongsi pandangan sama apabila diminta mentafsir Perkara 6 peraturan itu.

“Pemahaman saya, pengundian Padang Serai terpaksa ditangguhkan.

"Tetapi orang yang telah dicalonkan dan masih hidup tidak perlu dicalonkan semula. Tetapi penamaan baru untuk menggantikan calon yang meninggal dunia mesti dibuat," katanya.

Keterangan pada Perkara 6 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya.

Bagaimanapun, peguam New Sin Yew mempunyai pendapat berbeza dan berhujah bahawa pengundian awal dikira sebagai permulaan pengundian - dan oleh itu pilihan raya di Padang Serai mesti diteruskan.

New berhujah bahawa nama mendiang Karupaiya masih akan berada di kertas undi dan pengundi masih boleh memilihnya untuk kerusi itu.

Jika Karupaiya menang - ini secara automatik akan mencetuskan pilihan raya kecil (PRK).

New dan Fann bersetuju bahawa jika pengundian baru di Padang Serai diadakan - maka ambang untuk majoriti mudah bagi mana-mana gabungan politik akan dikurangkan daripada 112 kepada 111.

Ini memandangkan hanya 221 kerusi akan diisi di Parlimen, bukannya 222.

Keputusan tentang cara mentafsir undang-undang ini - sekurang-kurangnya buat masa ini - perlu dibuat oleh SPR.

Bagaimanapun, SPR mesti terlebih dahulu menerima makluman rasmi kematian Karupaiya daripada pegawai pengurus pilihan raya Padang Serai.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Abdullah memberitahu Malaysiakini bahawa dia telah mengarahkan peguam dan wakil Karupaiya mendapatkan sijil kematian secepat mungkin bagi memudahkan proses ini.

Karupaiya memenangi Padang Serai pada pilihan raya umum 2018 selepas menewaskan Leong Yong Kong dari MCA dan Muhammad Sobri Osman dari PAS.

Dia berumur 69 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo