NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muhyiddin dan reaksi terkejut ‘Sadiq Segaraga’ segelintir pemimpin UMNO


SEPANJANG Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri bermula pada 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, penulis dapat perhatikan bagaimana ada beberapa pemimpin UMNO yang dilihat begitu ‘alergi’ dengan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Buatlah apapun pasti ada kecaman dan kritikan daripada mereka, ‘serangan’ dilakukan bertubi-tubi setiap hari ini, tetapi kalau tengok rekod politik, merekapun bukanlah hebat sangat, dalam PRU-14 pun tewas dengan majoriti agak besar. Bagaimanapun kelompok ini senyap seketika apabila Muhyiddin meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu

Puak-puak itu ‘tidur seketika’ mungkin ‘keletihan’ maklumlah sudah setahun lebih ‘memerahkan otak’ bagi ‘menyerang’ Muhyiddin, tetapi baru-baru ini apabila bekas Perdana Menteri itu dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mereka bagaikan watak Sadiq Segaraga dalam filem ‘Tiga Abdul’.

Ingat tak adegan bagaimana reaksi terkejut Sadiq Segaraga yang sedang berbaring  kerana berpura-pura sakit apabila dimaklumkan oleh ‘Tuan Penasihat Kassim Patalon’ bahawa Abdul Wahub datang dan menyuruh orang ramai mengambil barang-barang di dalam rumahnya. ‘’Abdul Wahub buat lagi, Abdul Wahub buat lagi’’ kata ‘Tuan Penasihat’, Sadiq Segaraga terus bangun dan berkata, ‘dah baik dah’.

Begitu juga pemimpin UMNO yang dilihat tidak suka Muhyiddin, mereka terus ‘melompat’ apabila pelantikan Muhyiddin dibuat . Macam-macam hujah dikeluarkan bagaikan mahu ‘membunuh’ kredibiliti bekas Perdana Menteri itu. Tetapi dalam keghairahan itu mereka ‘terlupa fakta’ atau buat-buat lupa.

Sebagai contoh, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Facebook yang mempertikaikan hujah Muhyiddin menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menyifatkan kenyataan Muhyiddin mahu menggelapkan fakta atau mengalihkan perhatian masyarakat daripada kegagalan Kerajaan PN di bawahnya.

‘’Hakikatnya kejatuhan PN disebabkan oleh desakan ketidakyakinan rakyat dan ia menjadi antara punca UMNO menarik sokongan (kepada Muhyiddin dan PN),’’ kata Khaled.

Dan hari ini Pegawai Muhyiddin, Datuk Dr.Marzuki Mohamad menjawab kenyataan Khaled dengan menegaskan,;

‘’Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM buat kajian persepsi awam yang mendapati 92% responden tak setuju Tan Sri Muhyiddin letak jawatan. Hasil kajian ini disiarkan pada 9 September. Khaled buat kenyataan 11 September. Elok ada orang bantu dia buat kajian sikit sebelum dia bercakap.’’

Begitu juga apabila Khaled berkata, Muhyiddin tidak membangkang apabila Perdana Menteri mahu mengadakan kerjasama dengan pemimpin PH atau pembangkang. Marzuki membalas kenyataan bekas Menteri Besar Johor itu dengan berkata;

‘’Khaled Nordin tanya kenapa Tan Sri Muhyiddin tak bangkang tawaran kerjasama rentas parti di Parlimen yang diumum oleh PM. Dia tak baca berita ke? Tan Sri Muhyiddin dah umum perkara yang sama pada 13 Ogos 2021. Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga.’’

Apa yang berlaku itu menunjukkan masih ada pemimpin UMNO seolah-olah masih tidak berpuashati terhadap Muhyiddin walaupun beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Tetapi bagus juga apabila Khaled berkata, ‘’jelas bahawa Muhyiddin sekadar memberi helah dan mahu mengelirukan kita. Sudah diberi ruang dan peluang bertaraf menteri, fokuslah sajalah kepada peranan dan tanggungjawab yang diberi.’’

Kenapa penulis berkata ‘bagus’, ia kerana nasihat itu juga boleh ditujukan kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak habis-habis mahu ‘mengganggu’ Muhyiddin.

Mereka juga harus menghentikan membuat helah dan mengelirukan rakyat kononnya Muhyiddin gagal sehingga UMNO menarik sokongan kepada beliau.

Ia memandangkan fakta-fakta yang dibentangkan dalam isu pandemik Covid-19 membuktikan, ketika negara di bawah kepemimpinan Muhyiddin, beliau sudah berjaya menguruskan isu tersebut dengan baik tetapi malangnya ia ditutupi dengan ‘serangan’ yang dianggap bermotif politik dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) contohnya, setakat semalam, statistik menunjukkan lebih 17 juta individu telah divaksinasi, merangkumi 52.1 populasi keseluruhan negara.

Statistik lebih 17 juta individu atau lebih tepat 17.026 juta itu turut merangkumi 72.7 peratus populasi dewasa telah lengkap menerima dos kedua bagi vaksin dua dos dan satu dos bagi vaksin tunggal CanSino.

Sehingga semalam juga, sebanyak 38.260 juta dos vaksin telahpun diberikan seluruh negara sejak PICK dilancarkan pada Februari lalu.

Populasi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos mencecah 21.290 juta individu atau 65.2 peratus keseluruhan penduduk dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan, kadar populasi dewasa yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos mencapai 90.9 peratus.

Ia bermakna negara berada dalam landasan yang betul untuk mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya pada penghujung Okotber atau lebih awal lagi…seperti mana disasarkan oleh Muhyiddin ketika beliau menjadi Perdana Menteri…insha-Allah.

Itulah dalam konteks vaksin, dari segi lain pula, kalau betul lah Muhyiddin gagal, bagaimana sekarang negeri-negeri mula beralih Fasa pemulihan? Ada negeri yang sudah memasuki Fasa 2, Fasa 3 dan ada yang menuju Fasa 4.

Semalam pula, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Malaysia terus mencatat aliran masuk bersih modal pelabur asing dengan sejumlah RM7.7 bilion dicatatkan bagi bulan Ogos 2021.

Ini merupakan nilai yang tertinggi semenjak Jun 2020 dan telah mengimbangi aliran keluar bagi dua bulan sebelum itu, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Aliran masuk bersih modal pelabur asing ini didorong oleh kemajuan positif Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah menambah baik situasi keseluruhan kesihatan awam, serta membenarkan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Segelintir pemimpin UMNO yang dilihat tidak suka Muhyiddin perlu ikhlas untuk mengakui semua itu adalah hasil tangan kepemimpinan beliau sebelum ini.

Justeru perkataan ‘gagal’ yang digembar-gemburkan itu datang dari mana? Kalau komen-komen dalam media sosial mahu diambil kira ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, ambil lah  juga ia sebagai pertimbangan apabila majoriti reaksi netizen dalam media sosial menolak sebarang langkah mahu melantik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf Menteri kerana beliau mempunyai kes mahkamah.

Dan kalau Muhyiddin sebelum ini diminta seorang pemimpin UMNO berjiwa besar menolak jawatan Pengerusi MPN  kerana dianggap gagal sebagai Perdana Menteri, kenapa pemimpin itu tidak membuat saranan yang sama supaya Najib juga menolak sebarang pelantikan sebagai penasihat bertaraf menteri?

Jika Khaled mahu Muhyiddin memberi fokus kepada peranan dan tanggungjawab yang diberi, maka pesan juga kepada kawan-kawan di dalam UMNO janganlah mengganggu bekas Perdana Menteri itu yang mahu membantu memulihkan negara secara sukarela tanpa menerima sebarang imbuhan.

Contohilah semangat Ismail Sabri yang berusaha mewujudkan perdamaian politik dengan mengemukakan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan pada 10 September lalu dan ia disambut baik oleh pakatan pembangkang.

Janganlah sampai tindak tanduk mereka ‘mengganggu’ Muhyiddin akan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kerajaan yang turut disertai oleh UMNO dengan 20 ahli Parlimennya menjadi Menteri dan Timbalan Menteri.

Bersama-samalah menjaga keharmonian dan mewujudkan kestabilan politik yang sedang diusahakan oleh Ismail Sabri, hentikanlah reaksi terkejut Sadiq Segaraga apatah lagi bersikap seperti ‘Tuan Penasihat Kassim Patalon.’’- Tak ada faedahpun…

ZULKIFLEE BAKAR
https://wartarakyat.com.my


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo