Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli |
KANGAR: Menteri Besar Perlis yang baharu dijangka mengangkat sumpah di Istana Arau pada jam 3 petang esok.
Sumber dalaman parti Perikatan Nasional (PN) Perlis berkata, watikah pelantikan Menteri Besar yang baharu itu sudah diserahkan semalam oleh pimpinan kanan PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada pihak Istana Arau.
"Difahamkan hanya satu nama saja dari PAS Perlis yang diserahkan kepada pihak istana.
"Pihak istana akan meneliti terlebih dulu berhubung nama calon Menteri Besar yang diserahkan kepada mereka sebelum mendapat perkenan Raja Perlis," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Selain itu juga, difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PN yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dititah ke Istana Arau menghadap Raja Perlis hari ini.
Sebelum ini, terdapat desas-desus Pengerusi PN Perlis yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli bakal dilantik Menteri Besar Perlis yang baharu susulan kemenangan PN pada PRU15 di negeri ini.
Mohd Shukri, 66, yang sebelum ini seorang guru dari 1985 sehingga 2013 adalah pemimpin yang sangat dihormati berikutan sifatnya mesra dan berjiwa rakyat.
Kejayaan PN membentuk kerajaan negeri bakal menyaksikan wakil PAS buat kali pertama akan memegang jawatan Menteri Besar selepas 65 tahun dikuasai kerajaan Barisan Nasional (BN).
Mohd Shukri juga adalah penyandang kerusi DUN Sanglang sejak tiga penggal.
Sumber | BH Online
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment