NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Minta maaf Anwar, saya hormati keputusan parti - Tian Chua


KUALA LUMPUR:
Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua akur dengan sebarang tindakan disiplin parti itu terhadapnya selepas beliau 'terpaksa' bertanding sebagai calon Bebas dan mencabar calon partinya sendiri di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau mengakui, faham dengan kekecewaan yang dirasai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tindakannya, dan memohon maaf kepada rakan lamanya itu.

Menegaskan tindakannya bertanding sebagai calon Bebas semata-mata kerana mahu menyambung bakti sebagai Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yakin ia tidak akan menjejaskan hubungan persahabatannya dengan Anwar walaupun dilihat menikam parti itu.

"Saya harus menghormati kuasa Presiden. Saya memahami dilema Anwar, dia terpaksa menjalankan tanggungjawab sebagai Presiden untuk mengikuti peraturan parti.

"Saya amat memahami kekecewaan beliau dan saya mohon maaf kerana terpaksa lakukan perkara yang menyedihkan dia.

"Namun, saya ingin tegaskan persahabatan saya dengan Anwar tidak akan berubah walau sedikit pun, walaupun dipengaruhi peristiwa politik semasa.

"Saya tetap menghormati dan menghargai pengorbanan beliau sebagai pemimpin, dan ucapkan semoga berjaya kepadanya dalam PRU15," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam, yang dilaporkan berkata, Tian Chua secara automatik dipecat daripada PKR berikutan tindakannya bertanding atas tiket Bebas di kerusi Parlimen Batu pada PRU15.

Anwar yang meluahkan rasa kecewa dengan tindakan antara reformis parti itu, berkata Tian Chua tidak wajar memilih haluan itu dengan membelakangi keputusan parti.

"Kita akan ambil tindakan sewajarnya. Biasanya sebagai dasar (PKR), mereka yang bertanding sebagai calon Bebas atau meninggalkan parti atas apa jua alasan sekali pun akan secara automatiknya dipecat oleh parti," katanya.

PKR mencalonkan P Prabakaran mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di Parlimen Batu, sekali gus menjadi antara calon termuda pada PRU15.

Tian Chua yang pernah menyandang kerusi Parlimen Batu selama dua penggal, sebelum ini meluahkan rasa kecewa dengan senarai calon yang diumumkan kepemimpinan parti.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo