NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menunggu pengundi berani, menanti politik matang


Pada 19 Nov ini seluruh negara akan mengundi. Ia juga merupakan tarikh saya menjadi ‘tua’ mengikut definisi belia di Malaysia.  

Keadaan ini meletakkan diri dalam dilema pada tarikh itu - sama ada saya perlu mencipta sejarah baru politik Malaysia atau membiarkan diri dikutuk kerana mengembalikan parti arkaik bertakhta semula di Putrajaya.  

Saya yakin kebanyakan pengundi hari ini juga dalam dilema. Gabungan parti mahupun parti politik semakin bertambah, sekali gus menimbulkan kebingungan dalam membuat pilihan.

Tetapi, kecelaruan gabungan parti politik yang penuh dengan percaturan boleh menjadi faktor pengundi tidak lagi teruja untuk keluar mengundi.

Justeru, bagaimana pengundi harus melihat PRU ke-15 dalam kerangka yang besar? Apakah perkara yang boleh dinilai pengundi untuk membuat pilihan yang lebih baik, seterusnya keluar mengundi?

PRU akan datang menyaksikan persaingan tiga gabungan parti yang pernah menjadi kerajaan persekutuan, iaitu Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan, dan BN di bawah Ismail Sabri Yaakob bertahan selama 14 bulan.

Ini jauh berbeza dengan pertembungan pada PRU ke-14 iaitu di antara BN BN dan pembangkang utama yang dikepalai PH.

Ekonomi tak menentu

Terdapat juga pemimpin dalam Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Gabungan Tanah Air (GTA) pernah menerajui kerajaan pusat sama ada sebagai anggota kabinet atau sebahagian daripada jentera kerajaan. Inilah dinamik politik yang berubah sejak beberapa tahun lalu.

Maka, PRU ke-15 adalah pertembungan ‘kerajaan’ secara besar-besaran dan menjadi penentu ‘KPI’ sebenar parti mana yang dipilih pengundi untuk menerajui negara dalam tempoh lima tahun mendatang.  

Manifesto - atau disebut juga sebagai tawaran, ikhtiar, aku janji, dan iltizam -  oleh parti politik akan menjadi taruhan penting kepada rakyat.

Persaingan  idea sepatutnya diangkat dengan serius memandangkan parti politik mempunyai pengalaman melaksanakan dasar ketika mentadbir negara.

Perdebatan dasar ini penting kerana rakyat perlu memilih kerajaan yang memiliki penyelesaian mengatasi cabaran ekonomi yang tidak menentu akibat konflik geopolitik yang kian meruncing.

Pengundi seharusnya membangkitkan pertanyaan penting bagi setiap manifesto dibentangkan parti politik seperti perancangan meningkatkan semula jumlah simpanan KWSP yang semakin berkurangan sejak Covid-19.

Apakah solusi untuk mengatasi masalah perumahan rakyat? Bagaimana usaha mereformasi pasaran ekonomi negara agar rakyat dapat pekerjaan dan gaji yang lebih baik?

Parti kerajaan ada kelebihan

Persoalan-persoalan ini akan menguji sejauh mana tawaran parti politik itu realistik. Tetapi, proses penilaian manifesto di Malaysia sukar didedahkan kepada pengundi atas beberapa faktor.

Pertama, tiada perdebatan terbuka antara ketua parti semasa tempoh berkempen. Ini menyulitkan pengundi menilai baik dan buruk sesuatu tawaran. Malah, rakyat juga tidak dapat menguji sejauh mana ketua parti memahami dasar yang mahu dibawanya sekiranya membentuk kerajaan.  

Hampir 15 kali Malaysia mengadakan PRU, kesemua calon perdana menteri atau ketua parti tidak pernah berdebat secara terbuka.

Maknanya, perdana menteri kita agak ‘manja’ kerana tidak berani berhadapan dengan pengundi bagi mempertahankan dasar yang diketengahkan.  

Kedua, kurangnya proses menganalisis manifesto pilihan raya parti politik di Malaysia. Analisis manifesto di Malaysia agak berat sebelah kerana maklumatnya datang dari parti itu sendiri.

Malah, manifesto parti kerajaan mempunyai kelebihan memandangkan ia akan disiarkan media arus perdana dan sering diulas dalam keadaan ‘positif’ untuk memancing undi rakyat.  

Berbeza halnya di Australia apabila Kementerian Kewangan perlu membentangkan Laporan Tinjauan Ekonomi Prapilihan raya selepas 10 hari pembubaran parlimen.  Parliamentary Budget Office (PBO) yang berada di bawah Parlimen Australia pula akan mengeluarkan laporan impak fiskal bagi setiap manifesto ditawarkan.

Dokumen itu membantu pengundi menilai manifesto parti politik dari segi kesannya kepada ekonomi dan perbelanjaan negara. Malangnya, perkara ini kurang diamalkan di Malaysia.

Informasi berkenaan tawaran parti politik wajar diperluaskan dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui perdebatan atau analisis dasar.

Mungkin ia tidak berapa penting buat penyokong tegar sesebuah parti, tetapi ia akan membantu pihak seperti pengundi atas pagar dan individu bukan ahli parti politik - yang merupakan pengundi majoriti pada PRU ke-15 - membuat keputusan yang lebih baik.

Meyakinkan pengundi untuk memilih

Hakikatnya, politik dan tawaran dasar itu adalah ‘adik-beradik’. Tanpa dasar, kempen politik itu kosong daripada idea bagi menyelesaikan isu rakyat. Tanpa politik, manifesto itu akan mendatar dan tidak akan menarik minat pengundi.

PRU ke-15 boleh menjadi pencetus budaya baru buat parti politik menjalankan kempen yang seimbang dari sudut emosi dan rasional. Jadi apa langkah seterusnya bagi membantu pengundi mendapatkan maklumat yang lebih luas?

Pertama, semua parti politik perlu mencapai persetujuan bersama untuk mengadakan debat ketua parti atau calon perdana menteri secara terbuka dalam tempoh berkempen. Ia ini boleh dilakukan dalam dua siri, iaitu pada minggu awal berkempen dan beberapa hari sebelum mengundi.

Jika Anwar Ibrahim dan Najib Razak mampu berdebat sebelum ini, maka apakah alasan parti-parti terbabit menolak debat sewaktu tempoh berkempen?

Kedua, badan-badan pemikir (think-tank) perlu memainkan peranan menganalisis tawaran parti politik dan kesannya kepada ekonomi negara.  Kajian-kajian itu akan memberi perspektif dan keyakinan buat pengundi baru membuat keputusan berdasarkan fakta.

Ini adalah langkah kecil demi perubahan yang lebih besar dalam meyakinkan pengundi untuk keluar mengundi dalam keadaan mereka sudah membuat pertimbangan yang rasional.

Jika perkara ini berlaku, dilema pengundi yang masih ragu-ragu untuk keluar mengundi dapat diatasi secara berkesan. Jika tidak, ia akan melemahkan sistem demokrasi negara yang bakal didominasi kerajaan yang tidak peduli akan dasar dan ekonomi rakyat terbanyak.

Persoalannya, apakah pengundi juga berani berubah untuk melihat politik yang lebih realistik dan matang, atau masih terpegun dengan minda pertembungan ‘anak jantan’ antara parti dan pemimpin politik dalam PRU ke-15?


FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo