NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Melayu tidak boleh harapkan UMNO lagi


SEMENJAK pembubaran Parlimen sehingga ke hari ini, sehari sebelum hari mengundi, saya tidak menulis mengenai politik. Sebabnya ialah saya tidak mahu “mengajar” atau meramal. Saya tidak mahu “mengajar” parti-parti Melayu, khususnya, untuk berbuat dan tidak berbuat itu dan ini kerana mereka tidak akan mengendahnya. Kepada mereka kepentingan diri dan parti adalah lebih utama daripada perpaduan ummah, kepentingan orang Melayu/Islam dan negara, umumnya.

Saya juga tidak mahu meramal mengenai keputusan pilihan raya itu, kerana ia boleh jadi betul atau boleh jadi tidak. Saya lebih suka menunggu, melihat keputusannya dan menganalisis keputusannya yang sebenar.

Walau bagaimanapun, sehingga hari mengundi, dapat diperhatikan bahawa DAP telah mempelajari kesilapan mereka semasa menghadapi  Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) manakala parti-parti Melayu, tidak mengambil pengajaran daripada kesilapan mereka dalam PRU14 itu.

Maksud saya, mereka tidak mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati orang Melayu. Tidak pula kedengaran mengenai Red Beans yang menjalankan propaganda DAP dan menghentam pendapat dan penulis yang penulisannya tidak menyebelahi  DAP dan kepentingan orang Cina termasuk yang mempertahankan peruntukan Perlembagaan mengenai hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. NGO-NGO Cina sepert Dong Zong juga tidak bersuara dan membuat tuntutan-tuntutan melampau yang menyebabkan orang Melayu marah, berakhir dengan perhimpunan menentang  Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Perlu diingati bahawa perhimpunan 8 Disember 2018 itu bukan sahaja sekadar menentang ICERD. Tidak kurang pentingnya, ia adalah kemuncak kemarahan orang Melayu terhadap Kerajaan  Pakatan Harapan (PH), DAP dan tuntutan-tuntutan melampau NGO-NGO Cina. Dalam PRU15 ini, orang-orang Cina individu juga tidak berbuat sesuatu seperti menyebarkan video mereka berbuka puasa dengan sup babi dan lain-lain untuk menghina agama Islam.

Mereka tidak mengulangi semua itu. Mungkin mereka telah dilarang oleh DAP dan PH. Tetapi ia tidak bererti mereka tidak berbuat apa-apa. Mereka hanya menukar taktik mereka, melakukannya senyap-senyap atau menggunakan orang lain untuk mencapai kehendak mereka.

Dalam PRU14, kelantangan DAP menyebabkan orang Melayu berfikir bahawa DAP-lah parti dominan dalam PH. Ini adalah satu faktor yang menyebabkan kejatuhan Kerajaan PH tidak lama setelah ia ditubuh. Kali ini, yang paling lantang ialah DS Anwar Ibrahim dan Rafizi. Ia memberi gambaran kepada orang Melayu seolah-olah PKR-lah parti dominan dalam PH.  Itu penting bagi PH kerana ia perlu diterima oleh orang Melayu. PH tidak perlu risau mengenai sokongan orang Cina kerana selagi DAP berada dalam PH, sokongan orang Cina tetap terjamin.

Di samping itu, PH, melalui  Parti Amanah Negara (Amanah) malah DAP sendiri, telah menonjolkan muka-muka baru, muda dan berhijab di samping membawa masuk anak  Nik Aziz yang berpakaian seperti seorang “ulamak”, penceramah agama atau calon PAS, sebagai calonnya di Pantai Barat Semenanjung setelah ditolak di Kelantan dalam PRU14. Itu dilakukan untuk menunjukkan bahawa PH bukan anti-Islam,  malah mesra Islam. Sama ada mereka akan berjaya atau tidak kita belum tahu. Yang jelas ialah begitu murahnya Islam dan nama ulamak sanggup dijual oleh mereka untuk mendapat satu kerusi Parlimen atau DUN.

Parti-parti Melayu tidak mengambil pengajaran daripada kesilapan mereka dalam PRU14. Bukan sahaja mereka menolak usaha orang Melayu umumnya untuk menyatukan ummah, terutama sekali penyokong-penyokong UMNO dan PAS. Sebaliknya, bilangan parti-parti Melayu bertambah, mengakibatkan undi Melayu lebih lagi berpecah.

Parti-parti Melayu itu lebih kuat mengkritik sama sendiri daripada mengkritik PH yang sepatutnya menjadi musuh bersama. Yang untung adalah PH. Tidak cukup dengan itu, pemimpin-pemimpin Melayu itu bercakaran sesama sendiri, terutama sekali di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO.

Satu perkara lagi yang jelas kelihatan ialah kebencian orang ramai kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid. Setiap orang yang saya temui termasuk yang biasanya mengundi  Barisan Naional (BN) apabila disebut UMNO, berkata “Saya benci Zahid”. “Kalau dia masuk penjara awal-awal dah selesai masalah.” “Semua dah elok, dia yang buat sial.”

 

BAHAGIAN KEDUA
(Bahagian ini ditulis selepas hari mengundi dan keputusan diketahui.)

20 November 2022. Keputusan telah diketahui. Ia menunjukkan PH mendapat 82 kerusi, PN 73, BN 30, GPS 23, GRS 6, WARISAN 3, BEBAS 2, PBM 1, KDM 1. JUMLAH 221.

Pecahan mengikut parti, bagi gabungan PH, PKR mendapat 31 kerusi, DAP 40, AMANAH 8, UPKO 2, MUDA 1. Bagi gabungan PN, Bersatu mendapat 28, Pas 44, PN Direct 1. Bagi gabungan BN, UMNO mendapat 26 kerusi, MCA 2, MIC 1, PBRS 1. Untuk perbincangan ini, keputusan di Sabah dan Sarawak tidaklah perlu diperturunkan.

Perhatikan bahawa Bersatu mendapat 28 kerusi, PAS 44 dan UMNO 26.

Jika itu tidak cukup, lihatlah seterusnya. Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak dipilih untuk bertanding sebagai calon BN kerana kerap tidak bersetuju dengan Ahmad Zahid, bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN), menang dengan majoriti besar; Ketereh (yang sebelum ini berturut-turut dimenangi oleh Tan Sri Annuar Musa, tetapi tidak dipilih bertanding sebagai calon BN) jatuh kepada Pas; demikian juga Tanjung Karang dan Pasir Salak, kubu UMNO yang sekian lama dipertahankan oleh Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan mungkin jugakah Grik? Ahmad Zahid sendiri hanya menang dengan majoriti 348 di kampungnya sendiri.

Sekali imbas pun sudah nampak, apa yang dikatakan di atas (sebelum hari mengundi itu) betul. Di Semenanjung, khususnya, apa yang berlaku dalam PRU14 berulang semula, iaitu perpecahan undi Melayu yang disebabkan oleh BN, PN dan PAS telah memberi kemenangan kepada PH. Cuma, setakat ini kita tidak tahu berapa banyak kerusikah yang dimenangi PH itu akibat perpecahan undi Melayu itu. Dalam PRU14 ia dianggarkan  sebanyak lebih kurang 30 kerusi.

Ini jelas menunjukkan, walaupun pemimpin-pemimpin parti Melayu itu tahu akibat bertanding melawan sama sendiri, kerana angkuh dan kerana mengutamakan kepentingan parti (dibaca diri) mereka enggan bertolak ansur untuk mengelaknya. Akibatnya, merekalah yang menyerahkan kerusi-kerusi itu kepada PH. Apa gunanya berpekik “No DAP. No Anwar” apabila mereka sendiri yang membantu DAP dan Datuk Seri  Anwar Ibrahim membantu PH memenangi PRU15?

Selain dari itu, keputusan PRU15 itu menunjukkan kekalahan UMNO/BN yang sangat teruk, paling teruk dalam sejarah.

Saya katakan, ini disebabkan oleh Ahmad Zahid yang angkuh dan bertanggungjawab menetapkan calon-calon UMNO dalam PRU15. Beliau angkuh kerana UMNO memenangi PRN Melaka dan Johor walaupun itu berlaku in spite of him. Beliau dilihat sebagai seorang yang berusaha untuk mengguna kuasa supaya pendakwaan terhadapnya tidak diteruskan seperti Lim Guan Eng atau, jika dia didapati bersalah, beliau akan diberi pengampunan seperti Anwar. Berulang-ulang kali beliau mengugut untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub. Beliau, disokong oleh MKT UMNO, menekan Ismail Sabri supaya menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen dan mengadakan pilihan raya yang dilihat sebagai tamakkan kuasa untuk digunanya bagi membebaskannya daripada pertuduhan-pertuduhan jenayah terhadapnya. Semua persepsi dan realiti itu menimbulkan kebencian orang ramai, termasuk pengundi BN, menyebabkan mereka mengundi PN.

Ini adalah ulangan tsunami PRU14. Tetapi tsunami PRU14 adalah dari UMNO kepada PH kerana orang Melayu bencikan Datuk Seri Najib Tun Razak. Tsunami PRU15 ini adalah dari UMNO kepada PN kerana orang Melayu bencikan Ahmad Zahid. PH mendapat faedah sampingan kerana perpecahan undi Melayu akibat kurang cerdiknya pemimpin-pemimpin Melayu. Tetapi kita tidak boleh menafikan kebijaksanaan PH, terutama sekali DAP, dalam menukar taktiknya. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin parti-parti Melayu tidak mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dalam PRU14 itu.

Setelah kalah teruk pun, Ahmad Zahid masih enggan berundur sebagai Presiden UMNO.  Hari ini, dua hari selepas PRU15, UMNO diketuai Ahmad Zahid sedang berunding dengan  Anwar yang mengetuai PH untuk menubuh Kerajaan PH-BN. Mereka lupa apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH yang ditentang sekeras-kerasnya oleh orang Melayu dan UMNO sendiri seperti menjual harta Tabung Haji dan Kerajaan Persekutuan, termasuk kepada Cina Singapura.

Pemimpin-pemimpin DAP tidak menunjukkan muka atau bersuara dalam perbincangan BN-PH itu.  Itu taktik cerdik DAP untuk tidak memberi gambaran bahawa DAP adalah parti dominan dalam PH.

Di Perak, BN telah bergabung dengan PH untuk menubuh kerajaan. UMNO lupa apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (DAP-PKR-PAS). Dalam tempoh yang singkat berapa luas tanah Kerajaan Negeri Perak diberi kepada sekolah-sekolah Cina dengan pajakan 999 tahun sedangkan amalan sebelum itu hanya memberi pajakan 99 tahun. UMNO bersetuju bergabung dengan DAP semata-mata kerana DAP menawarkan jawatan Menteri Besar kepadanya sedangkan majoriti ahli Exco adalah  daripada PH. Itu jugalah keadaan dalam kerajaan Pakatan Rakyat itu: jawatan Menteri Besar diberi kepada Pas manakala majoriti ahli Exco adalah daripada PH ( DAP).

Ini menunjukkan pemimpin-pemimpin UMNO tidak mempedulikan kepentingan orang Melayu lagi. Yang penting kepada mereka hanya mendapat jawatan.

Di Pahang pun, nampaknya UMNO sedang mengikuti jejak UMNO Perak itu.

Ini jelas bertentangan dengan resolusi Perhimpuan Agung UMNO yang mengatakan: “No Anwar. No DAP.” Ini menunjukkan bahawa orang Melayu sudah tidak boleh bergantung kepada UMNO lagi untuk membela kepentingan mereka. Maka, sudah tibalah masanya bagi orang Melayu meninggalkan UMNO dan memberi sokongan padu kepada PN.

Sekarang kedengaran suara-suara daripada pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang mahukan UMNO menjadi pembangkang. Menjadi pembangkang tidak mengapa asalkan kerajan tidak jatuh kepada PH. Itulah bahaya paling besar yang perlu dielak.

Ada juga pemimpin-pemimpin UMNO yang berkata UMNO tidak akan bergabung dengan PN melainkan jawatan Perdana Menteri diberi kapada UMNO. Ingatlah, UMNO hanya mendapat 26 kerusi berbanding dengan 73 oleh PN. Itu juga menunjukkan mereka  lebih mementingkan jawatan Perdana Menteri daripada mengelak jatuhnya Kerajaan Persekutuan kepada PH.

PRU15 menunjukkan pengundi-pengundi Melayu boleh berfikir lebih baik daripada pemimpin-pemimpin UMNO.

Menulis sampai ke akhir rencana ini, semakin kuat soalan bermain di kepala saya sama ada apa yang berlaku dalam PRU15 ini adalah perancangan halus Allah Taala untuk “menghapuskan satu kaum yang zalim” dan “menggantikannya dengan satu kaum yang lebih adil”. UMNO telah diberi kuasa lebih dari 60 tahun. Dalam tempoh itu pemimpin-pemimpinnya menjadi kaya raya melalui rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Amaran dengan kekalahan  dalam PRU14 dan nasihat supaya membersihkan diri dan parti oleh orang-orang yang tidak berkepentingan tidak diendahkan. Maka, Allah membiarkan pemimpin-pemimpinnya membuat keputusan-keputusan yang salah yang membinasakan parti mereka sendiri.

Jika demikian, tidak perlulah kita menghabiskan masa dan tenaga untuk memperbaiki “kaum yang zalim” itu. Biarkan sahaja mereka musnah. Berilah sokongan sepenuhnya kepada “kaum yang adil” sambil memperingati mereka supaya jangan membuat kerosakan di muka bumi ini. Jika mereka juga kemudiannya melakukan kerosakan di muka bumi ini, tunggulah giliran mereka untuk menerima balasannya. Wallahu a’lam. -UTUSAN

 

TUN Abdul Hamid Mohamad
bekas Ketua Hakim Negara.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo