SELEPAS insiden penutupan beberapa bilik gerakan UMNO sebelum ini gara-gara tidak puas hati dengan pemilihan calon, kali ini MCA pula melakukan perkara sama dek marah kepada gabungan mereka, Barisan Nasional (BN).
Difahamkan kemarahan bahagian itu berkait dengan pembahagian kerusi bagi Parlimen Batu, lapor Malaysiakini.
Kejadian itu dirakam dalam video berdurasi 13 saat yang tular di media sosial dengan kapsyen, ‘Lagi pemberontakan dalaman BN! MCA boikot calon MIC Parlimen Batu’.
Melalui klip video itu, kelihatan sekumpulan lelaki menjerit sambil merentap sepanduk berwarna biru yang digantung.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan calon Parlimen Batu, Datuk Kohilan Pillay daripada MIC namun sehari kemudian Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengesahkan kerusi itu akan ditandingi calon MCA bukan MIC.
Katanya, keputusan itu dicapai hasil perbincangan dengan Zahid sebagai pertukaran kerana kerusi Parlimen Padang Serai telah pun diberikan kepada MIC.
MCA kemudian mengumumkan Yew Teong Look sebagai calon mereka di Parlimen itu namun Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menegaskan calon MIC tetap bertanding di Parlimen Batu.
BN akhirnya mengesahkan Kohilan akan kekal sebagai calon gabungan itu untuk Parlimen Batu.
Menurut laporan Sin Chew Daily, Yew dan Ketua Bahagian MCA Batu, Lim Beng Hean mengetuai kira-kira 20 orang menurunkan kain rentang dan menutup pusat operasi itu hari ini.
Yew enggan mendedahkan butiran lanjut namun katanya tindakan mereka hari ini adalah kerana MCA Bahagian Batu sangat marah.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment