SEPERTI yang saya katakan, rakyat telah mengajar pemimpin erti bersatu, apabila pemimpin gagal satukan rakyat.
Dalam kata lain, rakyat Malaysia, terutama anak muda, mahukan yang terbaik. Menolak politik ‘warlord’, meskipun undi bukan Melayu (terutama Cina) memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan (PH).
Ikutkan kempen, atas kertas, ingatkan PH akan mendapat majoriti mudah, rupanya tidak. Rakyat Malaysia memilih Perikatan Nasional (PN) seimbangkan ‘kerakusan’ nafsu PH untuk memerintah. Alahai profesor Melayu penipu G70.
Dalam kata lain, isu berkaitan masa depan Islam dan Melayu, tetap mendapat tempat dalam kalangan undi18.
Sehingga ke saat ini, seperti dijangka, belum ada, gabungan yang boleh mendapat majoriti mudah untuk memimpin kerajaan Malaysia meskipun Malaysia (rakyat) telah memilih.
Yang Dipertuan Agong memberikan tempoh sehingga petang ini untuk setiap gabungan (PN dan PH) menyerahkan nama Perdana Menteri (PM). Masing-masing mengatakan, ada nombor, terutama PH.
Apa yang terserlah, terbongkar sudah rahsia, seperti dijangka, ada Pakatan sulit ‘warlord’ PH dan UMNO untuk membentuk kerajaan. UMNO berpecah dua, antara pro PH dan pro PN. Yang rugi, tetap Melayu Islam.
Saya tidak mahu ulas jika PH+BN, jika mendapat majoriti. Sekiranya terjadi, ia satu pengkhianatan warlord UMNO kepada orang Melayu Islam.
Namun, jika gabungan PN (PAS) berjaya mendapat majoriti, lantik Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai TPM, satu lagi untuk Bumiputera.
PAS (PN) jangan lagi parti malu alah, buktikan tok lebai boleh. Jangan merasa segan untuk meminta jawatan TPM, kerana rakyat (anak muda) telah menaruh kepercayaan kepada kamu dengan mendapat kerusi terbesar (49).
Pemimpin PAS ada wajah penyatu ummah, Melayu Bumiputera + bukan Melayu. Bukankah sejak awal lagi PAS mahukan PN dan MN? Namun, kerana tidak ada pilihan, PAS bersama PN. Namun agenda MN masih belum terkubur. Wajah penyatu PAS tetap tersemi.
Saya ingin memanjangkan apa yang saya pernah sarankan pada 17 Ogos 2021, dalam Ismaweb dan laman sosial saya, PAS, melalui Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM) antara yang layak dijadikan regu sebagai TPM kerana ada ciri Qawiy al amin dan watak pendamai yang boleh mempertautkan kembali Melayu Islam yang berpecah.
Sekali lagi, saya majukan idea ini, kepada rakyat Malaysia yang telah memilih. Bukan mengenepikan TGHH (Presiden PAS). Sudah sampai masanya TGHH berehat setelah penat berusaha bagi memastikan PAS (PN) melangkah ke Putrajaya.
Alasan saya dahulu kenapa TPM perlu diberikan kepada PAS adalah,
Pertama, imej ‘bersih’ PAS sebagai penyatu. Inilah juga tuntutan Islam yang menjadi asas perjuangan PAS.
Kedua, TITM bebas daripada skandal 3 TA, takhta, harta dan wanita, yang lazim terdapat pada ahli politik. Integritinya tinggi. Jauh sekali daripada skandal dan kontroversi.
Ketiga, TITM mempunyai watak pendamai. Watak pendamai ini amat penting dalam mendamaikan umat Islam ketika krisis. Bukan pemimpin lain tidak ada, tetapi kredit wajar diberikan keapda TITM. jarang kedengaran semasa menjadi menteri, TITM mengambil pendekatan ‘menyerang’. Lebih kelihatan fokus kepada agenda menguruskan negara.
Keempat, kejayaan TITM menguruskan Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) dengan jayanya sebelum PRU15. TITM pandai memilih pasukan berkesepakaran untuk membantu menguruskan KASA. Kepandaian memilih pasukan kesepakaran tanpa melihat ideologi dan latar belakang ini menjadi KASA terserlah. Kadang kala kita lebih memilih pasukan kesepakaran yang hanya pandai membodek dan mengampu. Tetapi tidak kepada TITM.
Kelima, TITM mempunyai hubungan akrab dan memahami tatacara berinteraksi dengan istana. TITM disenangi oleh pihak istana.
Banyak lagi watak TITM yang saya kenali secara peribadi. Watak ‘orang tua’ yang berhemah, kaya dengan senyuman.
Dalam kata lain, PAS melalui TITM boleh membuktikan kepada dunia bahawa pak lebai boleh menguruskan negara secara profesional dengan baik jika diberikan peluang. Sifat takut kepada Allah menjadikan pak lebai lebih berhati-hati dalam menguruskan negara ke arah lebih baik.
PM yang dilantik nanti perlu perlu TPM regu sebegini untuk memacu Malaysia keluar daripada kemelut yang dihadapi, yang ada asas utama iaitu al-Qawiy dan al-amin. Inilah sifat yang perlu ada.
Qawiy ialah kekuatan, kemampuan dan kemahiran menjalankan tugas. Manakala al-amin ialah amanah atau bertanggungjawab. Kemampuan untuk melaksanakan dan al-amanah ialah perasaan takutkan Allah SWT dari melakukan pengkhianatan atau kecuaian. Sekiranya dua ciri ini dipastikan, maka sudah tentu tanggungjawab kepimpinan tidak akan dicemari, kebajikan rakyat terpelihara.
Hari ini, kita masih mencari tokoh yang dapat memenuhi kedua asas ini, ada memiliki al-qawiy atau kekuatan dan kemampuan tetapi kurang amanah, sementara seorang lagi memiliki ciri amanah iaitu soleh dan bertanggungjawab tetapi lemah atau tidak berkemampuan.
Sudah tentu kita amat perlukan kedua-duanya terutama ketika negara dilanda masalah. Moga Allah memberikan keberkatan dengan adanya pemimpin qawiy al amin. Kita tidak mahu lagi pemimpin yang terlibat dengan salah laku, salah guna kuasa, korupsi dan rasuah yang boleh meruntuhkan negara.
Semua contoh itu ada di depan mata, sehingga sanggup menggadaikan maruah dan mandat rakyat untuk menyelamatkan diri. Justeru, rakyat perlu bangkit menentang kemungkaran dan kedurjanaan ini.
Saya juga amat yakin, PN (PAS) ada formula untuk menyatukan DUN Pahang yang masih tergantung untuk memenangi hati BN. Untuk makluman, keputusan PRU15 DUN Pahang, PN memenangi kerusi 17 kerusi DUN. BN pula mendapat 16 DUN. PH 8. Tidak mustahil, keputusannya nanti menyenangkan UMNO. Paling penting, setiap keputusaan yang dibuat menguntungkan Islam.
Ambillah iktibar keputusan PRU15 ini.
Sokongan bukan Melayu amat jelas padu menolak kemenangan Melayu Islam, dengan memberi undi tidak berbelah bahagi kepada PH. Namun, anak muda, menyeimbangkannya dengan memberi peluang kepada Melayu Islam. Ambillah peluang ini.
Rancanglah untuk memiliki Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang masih belum mengadakan pilihan raya negeri. Berdasarkan kepada keputusan PRU15, semua ini tidak mustahil jika dalam tempoh 5-6 bulan ini, pemimpin merancang untuk bersatu.
Jika tidak, pasti sekali lagi, rakyat akan mengajar pemimpin erti penyatuan dan perpaduan, berasaskan kepada kedaulatan Islam dan Melayu Bumiputera.
PROF DR RIDHUAN TEE ABDULLAH
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment