NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Machang: Dari kerusi selamat kepada ‘battleground’


KAWASAN
yang bersuhu sejuk iklim politiknya dalam Kelantan, Machang kini menjadi tumpuan pemain politik setempat.

Walaupun pada awalnya Umno Barisan Nasional melalui Datuk Jazlan Yaakub kelihatan tidak tergugat, setelah dua penggal menjadi Ahli Dewan Rakyat di sini, semuanya telah berubah.

Rata-rata rakyat yang ditemui menyebut perkataan ‘tukar’. 

‘Mood’ baharu orang Machang

Sebelum ini pengundi memang telah lama menyebut mahu menukar Ahli Parlimen sedia ada yang dikira tiada banyak membawa manfaat kepada penduduk. 

Walaupun pada satu sudut, puak penyokong Umno berhempas pulas merasionalkan minda setempat kenapa Jazlan perlu kekal buat kali ketiga. Lalu ditulis senarai ‘jasa’ dan sumbangan Pengerusi Umno Negeri itu terhadap orang Machang. 

Panjang berjela, berderet-deret pujian serta ‘claim’ kepada pembangunan setempat yang dilaung mereka sebagai usaha Jazlan. Sehinggakan banyak pembangunan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri sendiri, telah juga di’claim‘ oleh puak Umno Machang. 

Perkara ini sudah pasti menimbulkan rasa muak dan loya dalam kalangan rakyat marhaen. Mereka sudah tekad mahu tukar Jazlan dengan orang lain tetapi persoalannya adalah kepada siapa?

Kemunculan Wan Ahmad Wan Ahmad Fayhsal

Desas-desus pulangnya anak jati berdarah Kelantan, untuk bertanding di Machang telah bertebaran dua minggu sebelum penamaan calon. Nama Wan Ahmad Fayhsal atau singkatnya dipanggil Waf mulai menjadi sebutan dan pertuturan semasa secara tiba-tiba. 

Ramai yang pening siapa Waf ini? Kata mak cik mak cik dalam pasar besar Machang, ‘Eh lawa budak ni. Laras comel, tubuhan lanjar tinggi lampai, semat’.

Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal yang dilahirkan pada 8 Mei 1987 ialah seorang ahli politik Malaysia yang telah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara dalam pentadbiran kerajaan di bawah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Halimah Mohamed Sadique sejak Ogos 2021.

Sebelum itu Waf berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan dalam pentadbiran Perikatan Kebangsaan (PN) di bawah bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Reezal Merican Naina Merican dari Mac 2020 hingga Ogos 2021, dan dilantik sebagai Senator sejak Mac 2020 untuk tujuan ini.

Waf berdepan risiko undi ‘kekeng’

Machang satu Parlimen yang cukup unik. Tiga DUN keseluruhan dalam Parlimen Machang dimenangi PAS tetapi kerusi Parlimen rakyat serahkan pada Umno. 

Bagaimana mungkin semua DUN PAS menang tetapi tewas di Parlimen? Ini amat menarik untuk diteliti. Hebat sangatkah calon BN atau baik sangatkah beliau sehingga pengundi membuat ‘undi kekeng’ dalam PRU lalu?

Jazlan wakil BN mengumpul jumlah undi 26,076 dengan majoriti 2,824 mengalahkan calon PAS dan PH. Walaupun Ustaz Azhar calon PAS menang dengan majoriti 2,119 di DUN Pulai Chondong, Ustaz Li pula menang dengan majoriti 1,035 di DUN Kemuning serta Dr Fadzli menang di Temangan dengan majoriti undi 1,897, akan tetapi kerusi Parlimen tetap terlepas kepada BN. Ironi bukan?

Itulah peliknya Machang yang jika dikumulatifkan jumlah majoriti daripada 3 DUN yang membawa jumlah 5,051 tetapi akhirnya kalah di Parlimen dengan defisit 2,824. Sebagai rekod, kesemua 4 calon PH pada waktu itu hilang deposit. 

Faktor utama undi berbelah bahagi

Secara asas, boleh dikatakan orang Machang adalah pengundi yang bijak cermat dalam membuat pilihan. Mereka akan memilih calon serta parti yang benar-benar akan berfungsi dan memberi ‘manfaat’ kepada mereka.

Dalam konteks Kelantan, mereka tidak banyak soal dan berfikir dua kali. PAS adalah satu parti yang tiada gantinya untuk terus memimpin Kota Darulnaim. Sebab itulah di Kemuning, daripada 13 Unit Daerah Mengundi (UDM), BN hanya menang di dua kawasan iaitu UDM Kg Bunut dan UDM Bukit Tiu. 

Bagi DUN Temangan pula, BN menang juga di dua UDM iaitu Kg Pauh dan Pangkal Chuit daripada semua 11 UDM. Selebihnya PAS sapu bersih. Di Pulai Chondong trend tidak jauh berbeza, daripada 12 UDM PAS menang majoriti dan Umno hanya mampu kaut 3 sahaja iaitu UDM Kg Banda, UDM Merbau Chondong dan UDM Dewan. Maknanya untuk total 36 UDM dalam Machang, PAS menang 29 dan Umno menang 7.  

Jauh berbeza langit dan bumi, bagi keputusan Parlimen, Umno BN menang 24 dan PAS hanya dapat 12. Pelik bukan? 

Umno konsisten berkempen bagi kerusi Parlimen pada waktu itu dengan ayat atau nada lebih kurangnya begini, ‘DUN kekal-lah adik kakok wi ko PAS, cuma Parlimen buwi ko BN lah‘. Hal ini datang dengan ‘syarah’ serta asas kononnya BN sebagai kerajaan sedia ada di Putrajaya akan mampu membawa pulang pelbagai kemajuan ke Machang.

Beralih arah dari BN ke PN

Rata-rata rakyat Machang kini semakin sedar. Janji Jazlan untuk bawa ‘kemajuan’ ke Machang hanyalah impian jauh. Machang tetap ketinggalan dalam segenap arah dan sudut. Dua penggal yang telah diberikan kepadanya bahkan dalam penggal kedua beliau bertanding, orang Machang yang telah berkorban melakukan undi ‘kekeng‘ kini insaf dan kecewa. 

PAS sebagai kerajaan negeri masih kekal memberikan perkhidmatan terbaik serta masih menjadi benteng utama kepada ummah dan agama. Namun wakil BN yang dihantar ke Parlimen, nampaknya tidak banyak berfungsi. 

Masuk sahaja kedai kopi dan restoran, dengar sahaja cakap cakap politik di tangga masjid, meneliti orang dalam pasar bercakap, semuanya mahu ubah. Jazlan akan diganti dengan Waf.

Machang yang dahulu kerusi selamat buat Jazlan kini bertukar menjadi medan tempur (battleground) maut buat Umno. Mood orang muda yang terpengaruh dengan aura Waf selaku mantan Timbalan Menteri dua kali, dengan ucapan yang sentiasa bersemangat, bijak dan ada idea, berwawasan untuk Machang. Selamat tinggal BN.

NAZMAN CHE IBERAHIM 
Darulnaim Research Centre




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo