NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lapor polis, SPRM jika terima bungkusan dicap lambang parti


SHAH ALAM
- Mana-mana individu yang menerima bungkusan, kampit beras atau makanan dicap dengan lambang parti politik tertentu diminta membuat laporan polis atau melaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim memandang berat dan serius terhadap amalan menggunakan lambang parti politik pada kampit-kampit beras, gula, tepung dan bahan bantuan kebajikan yang disampaikan kepada pengundi.



Menurutnya, sebarang bantuan kepada rakyat hendaklah bebas daripada simbol-simbol badan politik kerana ia merupakan satu bentuk sogokan agar undi diberi kepada parti tertentu sahaja sekali gus mencabul dan melanggar undang-undang anti rasuah negara.

"Ini adalah pada hakikatnya satu bentuk rasuah yang dilibatkan dalam tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) kini.

"Sesiapa yang menerima bungkusan, kampit beras atau makanan sedemikian dimohon agar lekas membuat laporan polis atau terus kepada SPRM.



"Harga diri demi demokrasi jauh lebih berharga daripada sekampit beras dan sebotol minyak masak," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara pada Khamis.

Beliau berkata, baru-baru ini terdapat beribu-ribu kampit beras dicap dengan lambang parti politik tertentu sebelum dihadiahkan kepada rakyat di kampung-kampung luar bandar dan kampung baharu, rumah pangsa dan tempat-tempat lain.

Justeru, Rais juga menekankan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih cakna menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dalam pemantauan itu.

Beliau juga meminta SPR dan SPRM bersiap siaga dan bertindak mencegah perbuatan antikeluhuran itu, selain menyuarakan kebimbangan suasana pada masa kini yang seolah-olah menunjukkan perbuatan sogok-menyogok semakin berleluasa sehingga mewujudkan seperti pesta budaya rasuah.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo