Sepang: Ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap satu pertuduhan memuat naik komunikasi bersifat sumbang pada Mei lalu, membabitkan video muzik Muah Muah Raya.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida atau DSV, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Vida, 51, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat sumbang dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada 29 April lalu melalui akaun YouTube DSV Entertainment.
Video berkenaan kemudian dilihat di di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya pada 5 Mei lalu.
Jika sabit kesalahan, Vida selaku Orang Kena Saman (OKS) boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya SKMM Fazril Sani Mohamed Fadzil, mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000. Bagaimanapun, peguam yang mewakili Vida, Datuk Adnan Seman, memohon jaminan diturunkan ke RM2,000 dengan alasan ia kesalahan pertama OKS.
Ahmad Fuad kemudian mengarahkan Vida membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Beliau kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh sebutan untuk serahan dokumen.
No comments
Post a Comment