Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjadi tumpuan utama seluruh rakyat, terutama apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bertanding di Parlimen Tambun lebih awal.
Beliau dijangka mempunyai kelebihan tinggi berbanding pencabar lain atas pertimbangan kepemimpinan dan iltizam politik. Selain Anwar, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mempertahankan kerusi daripada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH) dan Muhammad Faiz Na'aman daripada Perikatan Nasional (PN) di Bagan Datuk.
Setiausaha BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan bersaing sengit dengan penyandang kerusi di Parlimen Lumut, Dr Hatta Ramli.
Selain nama besar itu, PRU15 juga menyaksikan beberapa nama besar dipertaruhkan untuk berentap di negeri ini. Calonnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi BN di Parlimen Gerik dan Nik Omar Nik Abdul Aziz diletakkan PH di Parlimen Pasir Salak.
Pada umumnya, pertembungan beberapa politik gabungan di Perak menimbulkan kekeliruan dari segi pilihan rasional kepada pemilih pada PRU15 yang jarang disaksikan pada PRU sebelum ini.
BN walaupun dijangka mempunyai kelebihan dari segi sokongan akar umbi, terutama pengundi Melayu di Parlimen Gerik, ketidakpuasan menjelang penamaan calon sedikit sebanyak boleh mempengaruhi peralihan sokongan pengundi baharu dan sedia ada kepada PH atau PN.
PH menerusi DAP cuba memanfaatkan peluang sokongan penuh pengundi boleh diperoleh daripada pengundi Cina, India dan lain-lain dengan meletakkan Ahmad Tarmizi Jam sebagai calon.
Parlimen Gerik dalam senarionya memberikan laluan sukar kepada semua politik gabungan, tetapi dengan percaturan politik dibuat PH, ia bakal memberikan tentangan hebat kepada PN dan BN hingga menjelang hari pengundian.
Bagi pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan PN di Lenggong, ia bakal menyaksikan laluan penyandang tampak mudah. Lebih-lebih lagi Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah kekal dilihat ikon kubu kuat di Parlimen berkenaan.
Perebutan getir kerusi Parlimen Larut
Parlimen Larut pula berhadapan perebutan getir antara BN dan PN dengan kerusi ini pernah dimenangi dengan majoriti kurang selesa tetapi meyakinkan penyandangnya, iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk mengekalkan kerusinya.
Calon BN dipertanggungjawab bagi menggempur Hamzah, iaitu Mohd Shafiq Fhadly Mahmud dijangka boleh 'menarik nafas lega' dengan kekuatan jentera BN dan sokongan akar umbi sedia ada, manakala calon PH dan Gerakan Tanah Air (GTA) bakal berhadapan kesukaran tinggi jika jumlah pemilih keluar mengundi kekal seperti pola PRU14.
Parlimen Parit Buntar mempertaruhkan pengundi dengan empat politik gabungan berbeza. Namun, penyandangnya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berada dalam kedudukan di hadapan berbanding pencabar daripada PN. Apatah lagi, keputusan kes mahkamah berhubung Tabung Haji (TH) turut memberikan kemenangan moral kepada penyokong dan pengundi setempat yang mengikuti perkembangan isu ini.
Bagaimanapun, calon PN, Mohd Misbahul Munir Masduki mempunyai kelebihan sokongan akar umbi dan berupaya mengubah corak pengundian jika bijak memanfaatkan kempen serta manifesto dilancarkan kepada pengundi luar bandar di Parit Buntar.
Sementara itu, BN akan cuba memberi saingan hebat kepada penyandang kerusi khususnya dengan kekuatan dari segi isu keterangkuman bandar-luar bandar dan ekonomi B40 yang dekat dengan sokongan akar umbi. GTA pula berhadapan kesukaran tinggi dalam bertembung dengan budaya politik penduduk setempat.
Bagan Serai menyediakan pengundi dengan empat penjuru politik gabungan termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, dipertaruhkan kelebihannya untuk menawan Parlimen itu daripada BN.
PH meletakkan calon wanita, Siti Aishah Shaik Ismail bakal memberi saingan sengit kepada dua calon baharu dalam pertandingan kali ini. Dua faktornya, pertambahan pengundi muda dan pengundi sedia ada daripada sokongan akar umbi boleh merancakkan lagi pertembungan empat penjuru ini.
Berdasarkan PRU14, biarpun PH dan PAS tewas di Bukit Gantang dengan majoriti mudah, kemenangan BN dalam edisi lepas perlu direnung semula dari segi sifir, faktor dan cabaran politik hari ini. Lebih-lebih lagi PH dengan pertambahan jumlah pengundi berumur 18 tahun dan 21 hingga 29 tahun sekitar 25,388 orang sebenarnya berupaya memberi saingan sengit.
Ipoh Timur dan Ipoh Barat masing-masing diwakili Howard Lee Chuan How dan M Kulasegaran daripada PH, mungkin tidak berhadapan masalah besar mempertahankan kubu kuat terbabit.
Kedua-duanya mendapat kekuatan dari segi sokongan pengundi pelbagai lapis bangsa, terbuka, majoriti undi lepas besar, tingkah laku pengundi dijangka dan ketekalan dalam juang isu ekonomi.
Begitu juga V Sivakumar di Parlimen Batu Gajah; Ngeh Koo Ham (Beruas); Chong Zemin (Kampar); Tan Kar Hing menggantikan penyandang sebelumnya, Dr Lee Boon Chye (Gopeng) dan Nga Kor Ming (Teluk Intan) mempunyai laluan mungkin kurang sukar. Bagaimanapun, Chang Lih Kang di Tanjung Malim berhadapan cabaran dengan calon yang juga perlu direnung semula dari segi pertambahan pengundi baharu dan sedia ada yang belum pernah turun mengundi sebelum ini.
Kelebihan BN di Kuala Kangsar
Parlimen Kuala Kangsar menampilkan PN dan GTA tidak akan memberi laluan mudah kepada persaingan sengit antara PH dengan BN. Namun, untuk calon BN mengekalkan kerusi ini kepada penyandang baharu, Maslin Sham Razman, beliau juga antara individu berpengalaman dengan iltizam komuniti setempat.
Kerusi ini walaupun sengit, kelebihan dimiliki BN lebih besar berbanding PH. Namun, ia juga bergantung jumlah keluar mengundi. Jika ditinjau pada sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam PRU14, jumlah pengundi di Parlimen ini berada pada tahap sederhana baik.
Di Parlimen Parit, BN tidak berhadapan kesukaran luar biasa mengekalkan penyandang kerusi, Datuk Mohd Nizar Zakaria tetapi di Pasir Salak, Khairul Azwan Harun atau lebih dikenali Azwan Bro yang juga muka baharu ditampilkan BN akan diuji figura tidak kurang hebat, iaitu Nik Omar.
Kelebihan dimiliki Azwan Bro adalah sebagai calon setempat tetapi dalam keadaan tokoh prolifik luar diletakkan mewakili PH, ia bakal membuka pintu persaingan sengit kepada pesaing lain. Kebarangkalian sama akan berlaku dalam pertandingan merebut kerusi di Tapah antara BN diwakili Datuk Seri M Saravanan dan K Saraswathy (PH).
Ringkasnya, ada beberapa kerusi Parlimen di Perak masih berada di persimpangan membawa kedudukan sengit, terutama BN dan PH. Kedudukan ini boleh diubah jika pengundi baharu serta yang belum pernah turun mengundi diberi kesedaran mengundi.
Apapun, kita memerlukan kempen matang, tidak menyerang peribadi dan fokus kepada manifesto seperti dilancarkan untuk menarik sokongan dan menyeru pengundi keluar memberikan undi.
Dr Muhamad Azwan Abd Rahman
Pengerusi Pertubuhan NaratifMalaysia
(NARATIF) &
Felo Penyelidik Institut KajianMalaysia dan Antarabangsa
(IKMAS),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment