Calon BN Tanjong Karang mungkin berdepan cabaran sukar untuk membantu gabungan parti tersebut mengekalkan kerusi parlimen itu.
Selain bertarung lima penjuru, Malaysiakini difahamkan Habibah Mohd Yusof juga menghadapi penolakan dalaman daripada kalangan anggota Umno tempatan yang lebih menggemari penyandang kerusi parlimen itu Noh Omar, yang telah berkhidmat selama enam penggal sejak 1995.
Sejak ketua Wanita Umno Tanjong Karang dinamakan untuk menggantikan Noh, ramai ahli akar umbi parti secara terbuka menyatakan betapa terkilannya mereka dengan keputusan itu.
Ini jelas semasa hari penamaan calon pada 5 Nov apabila hanya kira-kira 300 ahli BN datang mengiringi Habibah, kebanyakannya daripada sayap wanita pimpinannya.
Sehari sebelum penamaan calon, dikatakan beberapa penyokong hampir bertelagah sesama sendiri di hadapan pejabat parti.
Seorang ketua cawangan Umno tempatan dalam ucapannya semasa ceramah BN pada malam pertama berkempen berkata kebiasaannya beribu-ribu penyokong BN akan berarak menyokong calon gabungan itu pada hari penamaan calon.
"Kalau lihat dalam sejarah Tanjong Karang, nak mengiringi calon beribu (hadir), tapi pagi tadi tak ramai.
"Itu melambangkan apa? Ini kita kena kerja kuat. Bukan mudah untuk PRU kali ini," kata Ketua Cawangan Umno Raja Musa, Yusof Saroji.
Walaupun ceramah itu dihadiri Habibah (gambar, atas), Yusof secara terbuka menyoal keputusan parti menggantikan Noh sebagai calon.
"Tempat yang menang, diubah pula calon, jadi masalah kita saya lihat banyak," katanya.
"Kalau contoh di Tanjong Karang, sebenarnya kita boleh menang mudah dan menang banyak untuk BN. Tapi sekarang kenapa kita nak cari kerja susah untuk memenangkan Barisan Nasional," soalnya.
Mohd Rosni Mastol, 59, (gambar, bawah) memberitahu pemberita bahawa keputusan untuknya bertanding bebas menentang Habibah dibuat selepas berbincang dengan beberapa rakannya yang juga ahli Umno cawangan.
"Sebab itu kita nak bagi isyarat - raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Hashtag kita Jebat kembali.
“Saya simpati dengan Tan Sri Noh,” katanya ketika ditemui di luar pusat penamaan calon di Dewan Datuk Hormat, Tanjong Karang.
Rosni ialah bekas pegawai khas Noh di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Dia juga mendakwa ramai ahli parti lain di kawasan itu tidak berpuas hati, dan ini menyebabkan beberapa bilik gerakan BN di Tanjong Karang ditutup.
Pemimpin kanan panggil ketua cawangan
Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas kesahihan dakwaan Rosni mengenai bilik gerakan BN yang ditutup.
Namun, pemerhatian umum di sekitar Tanjong Karang mendapati suasana agak 'malap' dan bendera BN juga sedikit.
Ini berbanding kawasan jiran parlimen Sungai Besar yang kelihatan 'meriah' dan ditandingi ketua Umno bahagian Jamal Yunos.
Menurut sumber dalaman Umno Tanjong Karang, Habibah juga dibiarkan mengendalikan kempen Tanjong Karang dengan pasukan yang ditubuhkannya baru-baru ini, tanpa sokongan daripada ahli cawangan Umno tempatan, yang merupakan jentera kempen pilihan raya.
Keadaan dikatakan begitu teruk hingga seorang pemimpin kanan bahagian terpaksa memanggil ketua-ketua cawangan Umno di Tanjong Karang pada hujung minggu lalu untuk membincangkan penolakan dalaman.
"Ketua-ketua cawangan ditanya sekiranya mereka mahu membiarkan BN kalah dalam pilihan raya (dengan tidak membantu Habibah).
“Kerana pada ketika ini, tidak akan ada perubahan kerana tempoh penamaan calon telah berlalu dan Habibah calon yang mewakili BN," kata seorang ahli parti ketika ditemui pada Ahad.
'Bukan lagi kubu kuat BN'
Walaupun dilihat sebagai kubu kuat BN, namun keputusan pilihan raya umum 2018, menunjukkan beberapa daerah mengundi di bahagian selatan kawasan itu jatuh kepada Pakatan Harapan.
Malah di tengah-tengah Tanjong Karang di mana BN memenangi semua daerah mengundi, kemenangannya kadangkala kecil, mengambil lebih sedikit daripada satu pertiga undi dalam perebutan tiga penjuru dengan PH dan PAS.
Di salah satu daerah mengundi yang lebih besar, Sungai Burong Selatan, ia menang 904 undi, berbanding 868 undi yang diberikan untuk PAS dan Harapan.
BN kehilangan daerah mengundi yang lebih besar - Hulu Tiram Buruk - dengan calon PH mendapat 46 peratus undi, menentang Umno 42 peratus dan PAS 12 peratus.
Hasilnya, calon PH, Zulkafperi Hanapi daripada Bersatu, memperoleh 32 peratus undi manakala Noh memperoleh 37 peratus.
Walaupun Zulkafperi bertanding lagi kali ini, dia kini calon Perikatan Nasional, yang mungkin tidak menarik minat pengundi terdahulu. Ini mungkin menguntungkan BN.
Selain itu, PH tidak bertanding di kerusi itu, memberi laluan kepada muka baru Siti Rahayu Baharin daripada Muda menentang ahli politik berpengalaman seperti Habibah.
Noh sokong
Habibah apabila ditanya pemberita semasa berkempen mengenai perkara tersebut kelihatan tenang walaupun menyedari wujud rasa tidak puas hati itu.
Sebaliknya, dia meletakkan dirinya sebagai anak didik Noh dan yakin dia boleh membanggakan mentornya itu.
"Alhamdulillah Tan Sri (Noh) sangat menyokong. Mesti bagus, sebab saya anak didik beliau. Saya ketua wanita beliau, saya adalah ketua puteri beliau.
"Beliau yang mula mengajar saya bagaimana menjadi ahli politik. Sudah pasti beliau menjadi penyokong kuat saya," kata Habibah ketika berkempen di Kampung Tok Adam.
Dia enggan mengulas mengenai Rosni bertanding sebagai calon bebas kerana membantah pencalonannya.
Kata Habibah, menjadi hak Rosni untuk menyertai pilihan raya.
Walaupun begitu, dia mengakui perkara "biasa" untuk peminat tegar Noh berasa pemimpinnya itu telah diperlekehkan.
"Yang itu no comment-lah. Bagi saya macam nilah, Tan Sri Noh memang tokoh yang lama di Tanjong Karang, banyak jasa beliau, sudah pasti beliau mempunyai banyak penyokong beliau yang taksub dan sebagainya.
"Jadi perkara itu biasa. Esok bila saya pula (jadi ahli aprlimen), saya pun ada pengikut juga.
Itu biasa, yang penting empunya diri (Noh) itu sangat menyokong dan sangat membantu saya," katanya.
Adakah Noh akan kempen di Tanjong Karang?
Pada penghujung hari keempat berkempen, mentornya itu masih belum menemui Habibah, sebaliknya muncul di kawasan lain seperti Sungai Buloh dan Kuala Selangor.
Tindakan Noh untuk berkempen untuk BN di kawasan berkenaan bagi menunjukkan kesetiaannya kepada parti, walaupun digugurkan sebagai calon.
Tetapi mungkin ujian kesetiaan bergantung sama ada dia akan kembali berkempen di Tanjong Karang atau tidak.
Ini untuk menamatkan pemberontakan akar umbi di sana, sekali gus meningkatkan peluang Habibah dan ini masih belum dapat dilihat lagi.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment