KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan untuk melantik Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan dalam Kerajaan Perpaduan.
Presiden kesatuan itu Abdul Razak Md Hassan dalam kenyataan hari ini berkata sokongan terhadap Loke itu berdasarkan rekod prestasi beliau yang pernah memegang jawatan itu sebelum ini dari Mei 2018 hingga Februari 2020.
“Pihak kesatuan turut percaya, sekiranya pelantikan Menteri Pengangkutan Malaysia ini dibuat kepada YB (Yang Berhormat) Anthony Loke, maka pengangkutan awam, khususnya akan menerima limpah kebaikan yang terutamanya membantu bagi peningkatan taraf pengangkutan awam yang lebih efisien," katanya.
Semalam, Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Abdull Rahim Saad dalam kenyataan berasingan berharap kepimpinan Anwar dapat beri fokus bagi membawa usahawan daripada golongan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) ke tahap yang lebih tinggi lagi serta ke persada dunia.
Menurut Abdull Rahim, Perdasama akan terus mengorak langkah menjalankan aktiviti ke seluruh dunia dalam membantu ahli mereka khususnya Bumiputera antaranya dengan menjalin hubungan perniagaan dan menganjurkan ekspo di Turkiye, selain menjalankan aktiviti mereka di China, Singapura, Indonesia, Perancis, Brunei dan United Kingdom.
"Sekali lagi kami warga Perdasama mendoakan kerajaan baharu bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim ini dapat mengekalkan dan membangunkan lagi kemampanan ekonomi negara," katanya.
-- BERNAMA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment