BERMACAM-MACAM gelaran diberikan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ada yang mengatakan ia ibu segala pilihan raya. Ada yang pula berpendapat ini yang terpenting, yang paling sengit dan pelbagai yang lagi.
Hakikatnya, semua pilihan raya yang diadakan di negara ini sangat penting. Setiap lima tahun rakyat turun untuk memilih kerajaan yang sah bagi mentadbir negara. Ia bukan setakat memilih kerajaan, pilihan raya juga adalah medan untuk rakyat menilai dan memilih pemimpin sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Pilihan raya umum bukan sekadar memilih parti atau pakatan yang akan membentuk kerajaan, tetapi ini peluang untuk menolak pemimpin yang tidak ada integriti. Menyingkirkan wakil rakyat yang tidak elok akhlaknya dan menghukum mereka yang hanya pandai berjanji tetapi tidak pernah menepati.
Tetapi yang paling penting sebagai rakyat kita mahukan sebuah proses pilihan raya yang aman tanpa adanya kejadian-kejadian tidak diingini yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.
Selepas pilihan raya umum 1999 yang diadakan ketika zaman reformasi jalanan yang penuh dengan pelbagai provokasi dan insiden-insiden pergaduhan, PRU15 juga dilihat sebagai antara yang terpanas kerana buat pertama kali menyaksikan pertembungan antara empat gabungan parti.
Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) antara empat komponen utama yang akan turun gelanggang bagi mendapatkan sokongan rakyat untuk membentuk kerajaan.
Itu belum mengambil kira-kira calon-calon dari parti yang bergerak secara solo dan calon bebas. Ia tambah menghangatkan lagi suasana yang ada. Ini tanda demokrasi di negara kita subur. Cuma kita harap tidak berlaku provokasi melampau yang boleh menyebabkan keadaan tidak terkawal hingga mencetuskan huru-hara.
Apa yang berlaku pada sesi penamaan calon di Tenom hingga memaksa pihak polis melepaskan gas pemedih mata adalah sesuatu yang tidak elok kepada imej demokrasi negara kita.
Rusuhan, kekerasan, merosakkan harta benda apatah lagi hingga mencederakan orang lain bukan budaya demokrasi negara ini. Sebagai sebuah demokrasi yang matang kita perlu elakkan provokasi melampau.
Memang setiap penyokong mahukan pemimpin dan parti mereka menang. Tetapi undang-undang juga perlu dihormati. Hak orang lain yang berbeza ideologi politik juga perlu dihormati.
Kita tidak mahu menang jadi arang kalah jadi abu. Jika ini berlaku tidak ada siapa yang untung. Kita semua akan rugi. Oleh itu kita sebagai rakyat Malaysia mahukan sebuah pilihan raya yang aman. Pilihlah pemimpin dan kerajaan dengan tertib tanpa perlu mencetuskan pergaduhan atau rusuhan.
Siapa juga yang menang kita perlu terima dengan hati yang terbuka kerana dalam setiap perlawanan pasti ada yang kalah dan yang menang. Yang kalah perlu terima kekalahan dengan hati yang terbuka, yang menang pula jangan angkuh hingga bertindak menyakitkan hati orang lain.
Semoga penyokong lebih 1,000 calon yang bertanding pada PRU15 ini sentiasa bersikap profesional dan bertoleransi bagi memastikan pemilihan kerajaan dan pemimpin lancar serta aman.
Aznan Bakar
Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment