NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kit Siang mungkin gila tiba-tiba kaitkan Presiden PAS dengan jawatan PM

VETERAN DAP, Lim Kit Siang menjadi pemimpin terbaharu DAP yang nampaknya kepanasan terpaksa keluar dari ‘gua pertapaan’ mereka sejak kempen PRU15 berlangsung. Beliau yang telah mengumumkan persaraannya sebelum ini menyusul Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang tiba-tiba muncul semalam setelah pimpinan utama parti itu dilihat mendiamkan diri sejak seminggu lalu.

Kit Siang mensasarkan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dikatakannya tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri tanpa mengira jumlah kerusi dimenangi PAS pada 19 November nanti. Tidak pasti dari sumber mana yang dirujuk beliau bahawa calon PERIKATAN NASIONAL P.037 Marang ada menyebut atau dinamakan ke jawatan itu.

Namun jelas bersuluh, DAP tidak dapat tidur lena dan sedang dibayangi ketakutan melampau hingga bertanggapan sedemikian. Mungkin kerana hajat dan percaturan sedang digerakkan DAP untuk menabalkan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah berada di jalan buntu. Tambahan pula terdapat analisis dan ramalan bahawa Anwar bakal kecundang di P.063 Tambun itu.

Mungkin juga trauma lama DAP masih belum hilang dari usaha kegagalan mereka memperalat individu-individu dalam PAS dahulu. Kecundangnya komplot mengambil alih teraju kepimpinan PAS cukup berkudis luka buat DAP. Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA), G18, Gerakan Harapan Baru (GHB) dan PAN menunggu masa ‘ditelan’ zaman.

Ia tidak sebagaimana mereka berjaya memperkuda dan membuat tokoh serta parti politik lain tunduk patuh mengikut serta melaksanakan kehendak nafsu parti Cauvinis itu. Sebaliknya PAS, terpaksa juga mereka ceraikan serta menjauhi lalu memujuk diri dengan melemparkan pelbagai cemuhan dan nista kepada PAS. Malah, PAS semakin melangkah gagah hari demi hari dalam arena politik negara.

Kerana itu Tuan Guru Abdul Hadi menjadi sasaran utama DAP kerana langkah padu beliau yang sukar diperlahankan mahupun dipesongkan. Hinggakan Kit Siang yang dikenali sejarah radikalnya itu terpaksa ‘bersuara negarawan’. Tegasnya, pemimpin perlulah daripada kalangan individu yang boleh menjadi teladan kepada rakyat dan tidak hanya melempar pelbagai tohmahan dan fitnah kepada pihak lawan.

“Seorang Perdana Menteri Malaysia perlulah seorang berpegang kepada janjinya dan boleh menjadi teladan dan integriti serta kejujuran. Dia tidak boleh menyebarkan penipuan dan fitnah sewenang-wenang­nya. Hadi menuduh DAP sebagai anti-Melayu, Islam, dan Raja.

“Adakah dia mempunyai apa-apa bukti?” soal Kit Siang dilapor sebuah portal berita dan turut menyuarakan kesal kerana mendakwa Abdul Hadi menuduh para pemimpin DAP sebagai komunis serta tidak percaya tuhan, selain menyatakan PAS bekerjasama dengan mereka yang terlibat rasuah.

Hipokrit dan retorik Kit Siang nampaknya berulang-ulang di mana seringkali berbicara tanpa bercermin diri sendiri dan partinya. Apa teladan dan integriti serta kejujuran yang dimiliki Kit Siang dan partinya DAP termasuk parti-parti rakan sekutu DAP? Rabun atau butakah beliau terhadap banyak skandal rasuah, salahlaku dan penyelewengan kuasa yang dilakukan pemimpin Pakatan Harapan (PH)? 

Sejak bila DAP dan PH suci bersih dari penipuan dan fitnah yang menjadi modal dalam semua agenda dan muslihat politik para pemimpin kalian. Begitu juga gugatan dan ancaman DAP dan PH kepada kepentingan Melayu, Islam dan Raja. Kit Siang fikir rakyat Malaysia lupa sebagaimana dia lupa? Apakah anda masih ingat bahawa PH pernah menjadi Kerajaan Persekutuan antara Mei 2018 hingga Februari 2022?

Nampaknya ‘kehilangan’ kuasa pemerintahan yang berlaku ke atas koalisi PH seiring dengan hilang ingatan dialami anda! Jika tidakpun, Kit Siang patut ingat bahawa DAP dan rakan sekutunya masih memegang teraju kerajaan di Pulau Pinang dan Selangor serta Negeri Sembilan. Secara khusus di Pulau Pinang memperlihatkan aspek kependudukan Melayu-Islam terancam oleh dasar-dasar dilaksanakan DAP. 

Malah kaum Cina dan India yang miskin juga menerima bahana dari pentadbiran DAP. Oleh itu, sudah-sudahlah Kit Siang dan seluruh bangsa DAP serta sekutu-sekutu anda dari PKR, PAN dan MUDA menafikan serta cuba memperbodohkan rakyat. Kalian telah terbukti adalah kleptokrat sebenar dan terus bertindak ekstrem dalam banyak perkara dengan menggugat dan mengancam kepentingan negara dan rakyat.

Kit Siang dalam kenyataannya itu turut membidas Tuan Guru Abdul Hadi yang didakwanya tidak faham makna sebenar ‘sekular’. Untuk tafsiran itu tidak memerlukan ulasan kerana orang ramai lebih tahu menilai sejauh mana Kit Siang sendiri memahami makna perkataan itu.

IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo