NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kini tumpuan kepada jawatan kedua paling berkuasa, Menteri Kewangan



Wujud beberapa petanda "kerajaan perpaduan" yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin tidak lama lagi bergelut dalam usahanya membuktikan ia dapat berfungsi dengan baik, ketika spekulasi timbul mengenai siapa yang bakal dinamakan untuk menerajui Kementerian Kewangan yang boleh dianggap sebagai portfolio kedua terpenting dalam Kabinet, MalaysiaNow difahamkan berdasarkan perbualan dengan beberapa pemimpin Umno dan PKR.

Ia juga adalah susulan kempen yang mulai aktif dalam talian menggunakan pelbagai platform media sosial yang semakin meningkat dalam kalangan penyokong orang nombor dua PKR Rafizi Ramli, di mana beliau dianggap mengintai jawatan itu jika Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Namun sebaliknya bagi Umno, talian hayat yang diperolehinya ketika bersetuju untuk menyertai kerajaan gabungan dipimpin PH bakal berakhir jika Anwar memutuskan portfolio kewangan tidak akan diberikan kepada mana-mana 28 ahli Parlimennya.

"Sekarang, setelah mengabaikan ketetapan 'No Anwar No DAP', paling kurang perkara yang boleh dilakukan Umno untuk menyelamatkan kredibiliti yang ada dalam kalangan ahlinya ialah menjadi pemain utama dalam pentadbiran kerajaan.

"Di Malaysia, kerusi itu sama ada perdana menteri atau menteri kewangan," kata seorang ahli Parlimen Umno kepada MalaysiaNow.

Beliau mungkin merujuk kepada ucapan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada perhimpunan agung parti itu pada Mac tahun lalu, di mana beliau menegaskan parti Melayu tersebut mesti berada di kerusi pemandu dalam sebarang kerjasama politik pada masa hadapan.

“ Yang penting, mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan kita, mesti meyakini kemampuan Umno, untuk menjadi pengemudi induk. Bukan pemain kedua, yang sekadar dikutip, untuk memenuhi kuota, atau bilangan kerusi yang diperlukan," kata Mohamad yang antara lain memutuskan ia tidak akan membuat sebarang kerjasama dengan Anwar atau DAP, parti yang kini mempunyai bilangan kerusi terbesar dalam PH.

"Tidak ada mana-mana pihak ataupun individu, yang boleh memberitahu, atau mengarahkan Umno, tentang bagaimana dan dengan siapa, kita harus berunding untuk membentuk sebuah kerajaan.,"

Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, dilihat sebagai antara pesaing utama bagi memegang portfolio kewangan, selain ahli Parlimen Titiwangsa yang menang baru-baru ini, Johari Abdul Ghani.

Tok Mat juga dikatakan antara pilihan dalam Umno bagi menggantikan Tengku Zafrul Aziz pada 2021, berikutan perunduran perdana menteri Muhyiddin Yassin selepas sekumpulan pemimpin Umno yang menarik sokongan terhadapanya dan akhirnya digantikan pemimpin Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri. 

Bagaimanapun, Zafrul dikekalkan sebagai menteri kewangan ketika itu.

Tok Mat dan Johari, adalah bekas tokoh korporat dan bekas menteri kewangan kedua di bawah kerajaan Najib Razak, masing-masing mempunyai pengalaman kewangan dan korporat sejak beberapa dekad, jauh terkehadapan berbanding Rafizi, 45, yang hanya merupakan bekas akauntan di Petronas.

johari_rafizi_tv3

Malahan, sebelum pilihan raya baru-baru ini juga, pengkritik sudah mula membandingkan Rafizi dengan Johari, di mana petikan daripada perbincangan panel TV3 mengenai Bajet 2023 yang tular menunjukkan Johari lebih fasih dalam soal kewangan dan ekonomi.

Rakaman tular itu menunjukkan Johari memberi penjelasan mendalam ketika ditanya mengenai kemerosotan nilai ringgit, berbanding Rafizi, di mana pengkritiknya berkata beliau mengelak menjawab soalan itu selepas membuat kenyataan ia adalah sesuatu yang menteri kewangan tidak akan boleh jawab.

Sejak awal 90-an, portfolio kewangan dilihat sebagai batu loncatan terakhir untuk menjadi perdana menteri.

Pada 1991, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad melantik Anwar sebagai menteri kewangan yang dilihat sebagai persediaan beliau untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan, selepas berkhidmat lima tahun sebagai menteri pendidikan, satu lagi portfolio yang turut dilihat sebagai batu loncatan ke jawatan tertinggi itu.

Dua tahun kemudian, Anwar dinamakan sebagai timbalan perdana menteri, petanda paling jelas bahawa beliau adalah adalah bakal pengganti Mahathir. 

Namun, peralihan kuasa itu tidak berlaku berikutan pemecatan Anwar pada 1998, selain penahanan dan sabitan kes liwat.

Sejak krisis ekonomi Asia lewat 90-an, menteri kewangan dilihat sebagai jawatan yang lebih berkuasa daripada timbalan perdana menteri.

"Malahan, tiada gunanya mendapat jawatan timbalan perdana menteri jika Umno tidak mengetuai kementerian kewangan," kata seorang ahli Parlimen Barisan Nasional.

“Sebuah kerajaan boleh berfungsi tanpa timbalan perdana menteri,” tambahnya.

Portfolio kewangan adalah salah satu daripada beberapa jawatan penting dalam struktur kerajaan Malaysia.

Namun selama enam dekad pentadbiran BN, jawatan itu diberikan kepada Umno.

Kuasa menteri kewangan termasuk penguasaannya terhadap sejumlah besar institusi penting kuasa ekonomi Melayu, serta syarikat-syarikat besar berkait kerajaan yang meraih banyak keuntungan.

....

https://www.malaysianow.com




........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo