NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ketika Parlimen masih tergantung


Sudah diagak oleh ramai pemerhati politik sejak awal lagi, keputusan PRU15 pasti akan menemui kebuntuan. Ketika saya menulis rencana ini parlimen masih lagi tergantung. Kerajaan masih belum ditubuhkan dek kerana tiada mana-mana gabungan parti politik yang menang betul-betul cukup kerusinya sendiri untuk menubuhkan kerajaan.

Saat anda sedang membaca tulisan ini rundingan sesama mereka sedang mereka jalankan. Tidak mengapa, kita biarkan mereka selesaikan dahulu segala rundingan. Sementara kita menunggu mari kita melihat beberapa dapatan menarik daripada PRU15 kali ini.

Antara sebab terjadinya keputusan unik sebegini adalah penyertaan pengundi kali pertama yang berusia sekitar 18 hingga 25 tahun. Sebaik sahaja keputusan PRU15 keluar satu demi satu sudah ada rungutan daripada pihak tertentu tentang perlunya dikaji semula apakah usia 18 tahun ini benar-benar matang untuk mengundi bagi menentukan hala tuju negara.

Anehnya pihak yang merungut inilah sebelum ini beria benar menganjurkan cadangan agar remaja baya tersebut diberikan hak untuk mengundi. Barangkali mereka menyangka anak-anak muda ini menyebelahi mereka tetapi ternyata tidak seratus-peratusnya begitu.

Maka persoalan yang saya anjurkan di sini untuk kita fikirkan semula adakah sesuai anak-anak berusia 18 tahun ini mengundi? Adakah mereka sudah bersedia dan cukup ilmu pengetahuan tentang politik negara ketika memangkah? Sesuatu yang perlu kita bincangkan nanti.

Kedua, gugurnya nama-nama besar. Mengejutkan apabila Nurul Izzah binti Anwar tewas di Permatang Pauh, di tangan ‘ustaz’ PAS Muhammad Fawwaz Mohamad Jan. Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR kerana di sinilah asalnya Deklarasi Permatang Pauh pada era reformasi 1998 dahulu. Bapa dan ibu Nurul Izzah pernah juga menjadi Ahli Parlimen di sini. Persoalannya kenapa tewas? Apa yang tak kena?

Nama-nama besar lain yang tewas antaranya ialah Mahfuz Omar, Khalid Samad dan Mujahid Yusof Rawa (Amanah), Khairy Jamaluddin dan Tengku Zafrul (BN), Saifuddin Nasution (PKR). Ribut perubahan memukul kuat sehingga mereka semua tumbang. Tidak lupa juga Tengku Razaleigh di Gua Musang. Habis!

Lembah Klang ternyata kubu kuat Pakatan Harapan. Jangan main-main dengan PH di Selangor dan Kuala Lumpur. ‘Pengkhianat’ (bagi PH) seperti Azmin Ali telah dibenam oleh Amiruddin Shari di Gombak sementara di Ampang telah menyaksikan Zuraida Kamaruddin terduduk mencorot setelah menduduki kerusi Parlimen di situ tiga penggal.

Kekalahan Azmin dan Zuraida ini sangat dinantikan dan diraikan oleh penyokong PKR. “Padan muka!” Kata penyokong PKR.

Calon Bebas juga belum cukup kuat untuk menarik pengundi di Kuala Lumpur. Parlimen Batu misalnya, Tian Chua walaupun pernah menang di situ di bawah PKR tetap gagal apabila bertanding Bebas walaupun P Prabakaran pada penggal sebelumnya menang atas tiket Bebas.

Itu kita tahu kerana Tian Chua selaku penyandang waktu itu tidak layak bertanding kerana ada kes mahkamah. ‘Trend’ calon Bebas di Batu itu tidak berterusan, pengundi memilih Prabakaran yang sudah menyertai PKR. Tian Chua dan beberapa calon Bebas lain ‘dibungkus ikat tepi’.

Ini mungkin menjadi pengajaran (moral of the story) bagi mereka yang ingin bertanding sebagai calon bebas di mana-mana kawasan di Lembah Klang bahawa bersedialah untuk hilang wang pertaruhan. Orang Lembah Klang lebih memilih parti bukan sosok individu walaupun ia Tian Chua sekalipun.

Kekalahan teruk Barisan Nasional kali ini memberi petunjuk jelas bahawa sebenarnya orang Melayu memang sudah menolak Umno setelah berjaya ‘menemui’ parti alternatif mereka. Perikatan Nasional iaitu gabungan PPBM dan PAS adalah parti baharu mereka.

Umno yang megah sebelum ini berasa cukup gagah berperang sendirian pada PRU15 ini ternyata salah baca. Kemenangan bergaya beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, juga kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Johor bukan petunjuk sebenar kekuatan Umno.

Mereka salah jangka. Kalau kita perhatikan PRU kali ini kelihatan Umno sendiri seperti tidak bersedia membuat gerak-gempur. Pemimpin utama Umno Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan seperti tidak terkejar untuk pusing seluruh Malaysia dan hanya tertumpu di kawasan mereka sahaja.

Pilihan raya ini seolah-olah seperti pilihan raya untuk menyelamatkan kerusi mereka sendiri sahaja. Lalu, apakah sebabnya keputusan PRU15 ini jauh berbeza dengan siri kemenangan beberapa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri tahun lepas? Adakah ketika itu sosok popular Najib Razak memainkan peranan penting? Adakah faktor Najib masih relevan untuk orang kampung terutamanya dalam menerima Umno? Mari kita masukkan teori ini juga dalam buku catatan kita dan bawakan teori ini ke kedai kopi untuk dibincangkan.

Bercakap tentang Perikatan Nasional tadi membuat saya terfikir apakah kehebatan PAS sehingga setiap kali pilihan raya umum – pencapaian mereka sering mengejutkan? Kali ini PAS sapu bersih lagi Kelantan, Terengganu dan Kedah. Bersama PPBM dalam Perikatan Nasional mereka berjaya ambil Perlis. Mengapa orang Kelantan masih memilih PAS walaupun berita kemiskinan cukup besar di Kelantan dengan air paipnya yang kotor, mundur, pembalakan melebihi kuota sehingga memusnahkan hutan sering digembar-gemburkan?

Persoalan ini saya apungkan untuk kita fikirkan bersama. Apakah congak orang Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis? Mereka nampaknya benar-benar yakin dengan
slogan Bersih dan Stabil yang dinyanyikan oleh Perikatan Nasional.

Oh! Tertinggal pula saya ketika membicarakan nama-nama besar yang tewas tadi. Siapa lagi kalau tidak Dr Mahathir. Mahathir, pemegang rekod calon paling tua (di dunia juga), Perdana Menteri paling lama dan menjawatnya sebanyak dua kali, sosok pertama dalam sejarah Malaysia yang berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional akhirnya tewas teruk kali ini.

Calon-calon dari parti Pejuang yang dipimpinnya semua melingkup sehingga hilang wang deposit. Apakah Mahathir yang sebijak itu gagal membaca semua ini? Apakah ini petanda era Mahathir sudah tamat? Mahathir sudah hilang sentuhan emasnya-kah? Orang Langkawi telah menguburkan impian Mahathir untuk terus berkuasa lagi. Malah, anaknya Mukhriz juga telah dibungkus bersama si bapa.

Ada banyak sisi menarik lagi sebenarnya untuk direnungkan dan dibincangkan pasca PRU15 ini tetapi sehingga saat ini Parlimen masih tergantung. Kita tunggu segalanya selesai, kerajaan baharu ditubuhkan dan barisan Jemaah Menteri dibentang, pasti akan ada ceritanya lagi. Untuk itu, buat masa ini kita ucapkan tahniah dahulu kepada semua calon yang menang. Tahniah!

Ronasina




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo