KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menggesa pihak yang disifatkan gagal untuk mengambil tanggungjawab dan berundur.
Dalam dua hantaran yang dikongsi di Facebooknya itu, Annuar dipercayai merujuk pada prestasi buruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Usah berlengah lagi... ketepikan semua ego. Yang gagal undurlah. Ambil tanggungjawab.
"Kini PN, BN, GPS, GRS, dan lain-lain yang asalnya satu, bermuafakatlah dan bermuafakatlah dan bentuk kerajaan.
"Selamatkan negara, agama dan bangsa ini. Usah berlengah, Allah masih sayangkan negara ini. Segera berpadu," katanya.
Annuar turut meluahkan betapa kebimbangannya selama ini terhadap prestasi buruk benar-benar berlaku pada PRU15.
Bahkan, Annuar turut menempelak pihak-pihak yang selama ini menggambarkan kumpulan pemimpin yang menyokong gagasan Muafakat Nasional (MN) sebagai tidak setia.
"Akhirnya igauan buruk yang saya gambarkan selama ini dan minta dielakkan benar benar terjadi. Dukacita teramat sangat.
"AI Quraan itu benar. Perpecahan menjadikan kamu lemah dan hilang kekuatan.
"Kami anjurkan muafakat, kami dilabel tidak setia. Kami minta jangan berpecah, kami yang menerima padah. Kini, ke mana kita nak dibawa? Mahu menjalin jajaran yang kita tolak? Mahu melanggar keputusan PAU dan parti sekali lagi?
"Undurlah, cukuplah kebinasaan ini dan dengar suara rakyat serta fahami kehendak rakyat.
"Jangan sombong," tulis Annuar.
Annuar yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, digugurkan daripada mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh yang dimenanginya pada PRU14 yang lalu.
Pada PRU15, calon Pas Datuk Mejar Jeneral (B) Khlir Mohd. Nor berjaya memenangi kerusi tersebut.
Selain Ketereh, BN juga gagal mempertahankan kerusi Parlimen Machang dan Gua Musang di Kelantan dan beberapa kerusi lain di Terengganu, Kedah dan Perak.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment