NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ketahui 5 Perkara Yang Tak Boleh Dilakukan Semasa Hari Mengundi


Kehangatan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin terasa terutama apabila banyak parti-parti politik sudah mula mengumumkan senarai calon mereka.

Dengan pengumuman tersebut terdapat wajah baru dan lama yang dipertaruhkan untuk bertanding di Parlimen dan DUN di kawasan mereka.

Sebagai rakyat pasti ada yang sudah tidak sabar untuk membuang undi mereka, jadi pelbagai persediaan telah dilakukan seperti mengenal pasti latar belakang calon manakah yang perlu diundi kelak.

Namun dalam keseronokan untuk mengundi, korang juga perlu tahu ada beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan sewaktu hari pengundian nanti.

#1 Tidak dibenarkan memakai baju melambangkan apa-apa parti

Sekiranya korang merupakan ahli kepada mana-mana parti atau mungkin seorang peminat korang tidak dibenarkan memakai baju yang melambangkan apa-apa simbol parti seperti logo dan juga wajah calon ketika mengundi. Malah perkara ini turut disebutkan dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954

Seksyen 26(1) Akta kesalahan Pilihanraya 1954 iaitu batasan pada hari mengundi:

– Tiada seorang pun boleh pada hari mengundi –

(g) Dalam jarak lima puluh meter dari sempadan mana-mana tempat mengundi dan dalam tempat mengundi, memakai, memegang atau membawa apa-apa bentuk atau jenis pakaian, tutup kepala, barang giasat, roset, botol air atau payung yang padanya tercetak atau tertera nama calon atau nama, lambang atau simbol mana-mana parti politik.

Oleh itu, korang disarankan untuk memakai pakaian neutral agar tidak kelihatan seperti memihak kepada mana-mana parti politik.

Mereka yang bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 1 tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya

#2 Memasukkan sesuatu dalam peti undi selain kertas undi

Foto: Pexels

Bagi mereka yang baru pertama kali ingin mengundi, korang dilarang untuk memasukkan sesuatu benda selain kertas undi di dalam peti yang disediakan.

Ini kerana, perkara itu mungkin boleh menyebabkan undian di dalam peti menjadi rosak serta akan mengelirukan semasa proses pengiraan dilakukan.

Korang juga boleh dikenakan hukuman sekiranya melakukan kesalahan tersebut. Berdasarkan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954:

Seksyen 3(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 – Kesalahan oleh mana-mana orang

(g) Memasukkan ke dalam mana-mana peti undi apa-apa jua, selain kertas undi yang dibenarkan oleh undang-undang untuk dimasukkan olehnya.

#3 Menerima makanan dan minuman daripada orang asing

Foto: Pexels

Sekiranya korang berdepan dengan situasi seperti ada seseorang yang ingin memberikan makanan, minuman dan sebagainya adalah wajib untuk ditolak.

Menerima makanan semasa hari mengundi dari seseorang yang tidak dikenali boleh disifatkan sebagai satu rasuah dan ia adalah salah.

Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 – Penjamuan:

“…dan tiap-tiap pemilih atau pengundi yang, secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain untuk membolehkan makanan, minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

Oleh itu, jika ada yang datang kata tidak kepada mereka kerana ia dapat menyelamatkan anda dari dikenakan hukuman.

Jika bersalah korang boleh dikenakan hukuman penjara selama 2 tahun maksimum, denda antara RM1,000 dan RM5,000 dan tidak dibenarkan mengundi selama 5 tahun akan datang.

#4 Majikan perlu beri tempoh sewajarnya untuk mengundi

Jika korang ditugaskan untuk bekerja pada hari mengundi, majikan perlu memberikan waktu yang secukupnya untuk korang membuat undian.

Namun sekiranya perkara itu tidak diberikan, korang boleh membuat aduan dan majikan bakal berdepan dengan Akta kesalahan Pilihanraya 1954.

Seksyen 25(1) – Majikan hendaklah membenarkan tempoh yang munasabah bagi pekerja mengundi.

(1) Tiap-tiap majikan hendaklah, pada hari mengundi membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi, dan tiada majikan boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan lain mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab dia tidak hadir bekerja dalam tempoh itu.

Mereka juga boleh dihukum penjara sehingga 1 tahun atau denda tidak melebihi RM5,000

#5 Tak boleh dedahkan undi

Foto: Freepik

Sering kali kita dengar undi adalah rahsia, korang juga tidak perlu untuk mendedahkan siapakah atau parti yang manakah yang menjadi pilihan hati.

Malah korang juga tidak boleh mendedahkan undi secara terang-terangan sebagai contoh memuat naik ke dalam media sosial dan sebagainya kerana ia merupakan tindakah yang salah. Menurut Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Seksyen 39 – Larangan mengenai pendedahan undi

“Tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah di undinya.”

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan perkara yang dilarang dalam pilihan raya serta akta yang berkaitan, korang boleh rujuk di laman sesawang ini.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo