NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"Kesabaran kami sudah maksimum, Zahid wajib berundur segera" - Annuar


KUALA LUMPUR:
Desakan menuntut Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO terus kedengaran daripada ahli-ahli parti.

Terbaharu, beberapa Ketua Bahagian UMNO, berkumpul hari ini di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, sejurus Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman kerjasama yang bakal dijalinkan dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara Ketua Bahagian yang membuat desakan itu ialah Ketua Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa; Ketua Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ketua Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif; Ketua Bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani dan beberapa pemimpin lain.

Menurut Annuar, kesabaran yang telah diberikan untuk patuh segala kehendak Zahid telah dituruti sehingga di saat-saat terakhir.

Kini, tegas Annuar, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu perlu mengikut tradisi serta mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan terburuk BN dalam PRU15 dengan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Katanya, tindakan itu penting untuk dilakukan Ahmad Zahid dalam memastikan proses pemulihan dalam UMNO dan BN mampu dilakukan seberapa segera.

Malah, pendirian yang dibuat oleh parti itu serta akar umbi sebelum sebelum ini telah bercanggah dengan naritif yang cuba dirintis oleh Zahid ketika ini.

"Kenapa UMNO mesti merangkak untuk mengangkat DAP menjadi kerajaan?

"Kami terpaksa membuat pendirian kerana pemimpin telah terbuka nak mengangkat DAP menjadi kerajaan, PH jadi kerajaan dengan Anwar menjadi Perdana Menteri… kami tak boleh diam diri lagi," kata Annuar dalam sidang media, pada Isnin.

Dalam masa sama, majoriti Ketua Bahagian UMNO setakat ini menentang hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan PH.

Rata-rata mereka, jelas Annuar, redha dengan kekalahan UMNO/BN dalam PRU15 dan rela menjadi pembangkang.

Tegas Annuar, jika kengganan Zahid berterusan hanya akan memaksa ahli UMNO melakukan tindakan luar dugaan untuk memaksanya berundur.

"Dalam UMNO kita ada pilihan-pilihan tertentu untuk itu, namun pada tahap ini tidaklah perlu dan lebih baik dia undur diri sekarang," ujar Annuar lagi.

Annuar turut memberitahu, ketua-ketua bahagian akan mengadakan siri perbincangan selepas ini bagi menentukan hala tuju terbaik parti itu.

Kata beliau lagi, kesabaran ahli-ahli UMNO ketika ini sudah sampai ke tahap maksimum dan Zahid perlu mendengar suara majoriti ahli parti.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo