Anwar Ibrahim, isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak perempuan, Nurul Izzah, bersilih ganti menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, sejak 1982. |
PETALING JAYA: Selepas 40 tahun Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, kerusi itu tidak menunjukkan sebarang petanda akan beralih tangan kepada parti politik lain walaupun anaknya, Nurul Izzah berdepan cabaran besar pada pilihan raya umum, menurut penganalisis.
Permatang Pauh yang dianggap “kerusi keluarga” Anwar, pernah disandang bekas timbalan perdana menteri itu, isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah, sejak 1982.
Walaupun dua penganalisis politik berpandangan bukan tugas sukar bagi “anak Permatang Pauh” untuk mempertahankan kerusi itu pada 19 Nov, Nurul Izzah juga tidak terlalu optimis, sambil menyatakan setiap pilihan raya mempunyai cabaran tersendiri dan pengundi tidak boleh diambil mudah.
James Chin, seorang profesor Kajian Asia dari Universiti Tasmania, berkata Nurul Izzah atau mana-mana ahli keluarga Anwar akan selamat di kawasan berkenaan.
“Menjelang pilihan raya umum, Nurul Izzah sebenarnya selamat didorong sejarah kawasan itu dan budaya politik di sana. Rakyat di sana bangga kawasan mereka adalah kerusi keluarga Anwar.
“Cukup sukar untuk menumpaskan mereka. Pengundi baharu juga diramal memberi manfaat kepada Nurul Izzah dan jika mereka keluar pada (jumlah) tinggi, kerusi terbabit menjadi semakin selamat.
“Sebab lain adalah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memberi tumpuan kepada undi sama, menjadikan ia lebih mudah kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada FMT.
Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata Nurul Izzah menjadikan tugasnya mempertahankan kerusi itu secara relatifnya mudah memandangkan beliau dilihat sebagai calon terbaik dalam arena politik Malaysia untuk masa depan.
“Permatang Pauh juga kekal menjadi kubu kuat PKR dengan jaringan baik sudah dilakukan oleh Anwar sejak 1982. Selain menjadi anak perempuan Anwar, Nurul Izzah juga sudah membina jenamanya sendiri dalam senario politik.
“Beliau juga mempunyai kelebihan sebagai bekas penyandang yang mana ramai pengundi bukan sahaja memilih berdasarkan calon, malah simbol parti,” katanya kepada FMT.
Calon lain akan berentap di Permatang Pauh membabitkan Mohd Zaidai Said dari BN, Muhammad Fawwaz Mat Jan (PAS) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang).
Pada 1982, Anwar merampas kerusi itu dari PAS dan menyandang kawasan berkenaan sehingga 1999 ketika beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, selain direman di penjara selepas berdepan tuduhan rasuah dan liwat.
Isterinya, Wan Azizah bertanding di kawasan Parlimen itu dan menang pada pilihan raya umum 1999 dan menyandang kerusi berkenaan sehingga 2008.
Pada Ogos 2008, beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen bagi membuka laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen menerusi pilihan raya kecil selepas dibebaskan dari penjara. Anwar mengekalkan kerusi itu pada 2013, namun statusnya sebagai Ahli Parlimen ditarik balik susulan sabitannya dalam kes liwat, pada 2015.
Wan Azizah kemudian kembali mengambil alih kerusi terbabit dalam pilihan raya kecil selepas itu dan menyandangnya sehingga pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebelum Nurul Izzah mempertahankan kerusi itu bagi PKR.
Kembali bangkit selepas dikhianati
Nurul Izzah ketika ditanya FMT berhubung kemungkinan Permatang Pauh akan terlepas dari tangan keluarganya kali ini, katanya, beliau tidak pernah mengambil mudah pengundi di sana.
“Kita melakukan yang terbaik untuk memperkukuh asas kami dan menggalakkan pengundi baharu keluar dan menyokong kita. Bagaimanapun, ancaman asas pilihan raya bergantung kepada kesepaduan dikemukakan oleh mana-mana pihak,” katanya.
Katanya, meskipun cabaran dijangka getir, partinya sudah menjalani pembersihan dalaman selepas Langkah Sheraton (menjurus tumbangnya kerajaan pusat PH), disusuli pilihan raya parti yang agak sengit.
“Hasilnya, kepimpinan tertinggi hari ini kebanyakan merupakan ahli sejati PKR, komited dalam agenda pembaharuan dan kuat mahu melaksanakan perubahan bermakna. Setiap kitaran pilihan raya menyajikan cabaran unik tersendiri, ia tidak boleh dibandingkan.
“Bagaimanapun, cabaran kali ini adalah bangkit semula selepas dikhianati. Kami sudah membersihkan parti dari pengaruh ini dan para reformis hari ini mesti bekerja keras untuk memenangi kepercayaan rakyat.
“Ia tugas berat, namun kami sedang membina momentum dan kami tidak akan berputus asa,” katanya.
Sumber I FMT Malaysia
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment