SHAH ALAM, 23 Nov (Bernama) -- Kerja-kerja pembaikan dua benteng laut yang rosak di Tanjong Karang, Kuala Selangor akibat fenomena air pasang besar awal pagi tadi hingga menyebabkan banjir di sekitar kawasan itu, sedang giat dijalankan.
Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Raiz Radzuan berkata kerja pembaikan benteng itu sedang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta dibantu para penduduk, namun beliau tidak dapat menjangkakan bila ia dapat disiapkan.
Katanya kerosakan benteng itu berlaku ekoran beberapa siri kejadian fenomena air pasang besar di kawasan terbabit hingga menyebabkan batu-batuan yang ada pada benteng batu tersebut mulai pecah akibat hakisan.
"Sudah banyak kali berlaku air pasang besar maka struktur semakin tidak kukuh. Sekarang ini orang kampung sudah tolong membuat benteng pasir sementara JPS dah lantik (kontraktor) untuk letakkan bongkah batu yang lebih besar," katanya ketika dihubungi Bernama petang tadi.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata insiden pagi tadi menyebabkan menyebabkan 111 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir.
Katanya, pihaknya bergegas ke lokasi pertama di Kampung Lembah Pantai selepas menerima panggilan kecemasan pukul 4.47 pagi dan mendapati kawasan rumah dihuni 92 penduduk di kawasan itu dinaiki air mencecah 0.5 meter.
Norazam menambah, kejadian benteng laut pecah itu turut dilaporkan berlaku di Kampung Ban RB pukul 7.30 pagi tadi.
“Kawasan rumah 19 mangsa itu dinaiki air sedalam 0.2 meter dan berada dalam keadaan statik. Paras air ketika ini didapati mula menunjukkan penurunan namun pemantauan lanjut masih dilakukan.
"Kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Kampung Baru Lembah Pantai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sireh," katanya
-- BERNAMA
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment