PETALING JAYA: Perdana Menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat supaya tidak terkeliru dengan situasi pembentukan kerajaan ketika ini kerana Jemaah Menteri dalam kerajaan sementara masih berfungsi bagi pengurusan tadbir negara.
“Kerajaan kekal sebagai ‘caretaker’. Jadi rakyat jangan keliru seolah-olah sekarang tiada kerajaan. Kerajaan masih kekal tapi sebagai kerajaan sementara.
“Malah Jemaah Menteri yang lepas masih berfungsi kecuali mereka yang tidak bertanding dan kalah dalam PRU. Jadi mereka tiada dalam Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah pusat beli-belah.
Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan akan membentangkan mini Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2023 bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan khususnya berkaitan pembayaran gaji penjawat awam.
Katanya, ia akan dibuat sekiranya tiada mana-mana parti membentuk kerajaan dalam masa terdekat.
“Mini Bajet 2023 masih boleh dibentangkan khusus untuk emolumen gaji penjawat awam. Itu mesti dibentang sebelum Disember sebab untuk gaji Januari kena bayar untuk gaji penjawat awam,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan membuat keputusan dalam masa terdekat mengenai siapa akan membentuk kerajaan, selepas Barisan Nasional (BN) tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan.
Dalam kedudukan sekarang, PH memiliki Ahli Parlimen terbanyak iaitu 83 orang, berbanding 73 PN.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment