NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemelut calon PM: Teori bekas orang kuat BN mengapa pembentukan kerajaan dilengah


KUALA LUMPUR:
Malam tadi, kumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bermesyuarat lagi bagi mencari persefahaman gabungan parti mana dan siapa di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dicalonkan sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Hasil mesyuarat berakhir menjelang tengah malam itu bagaimanapun masih gagal merungkai kemelut yang tercetus, malah beberapa Ahli Parlimen BN yang ditemui memaklumkan mereka mengemukakan permohonan bagi menangguhkan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, pagi ini.

Terdahulu BN sudah mengadakan dua pertemuan berasingan dan berpendirian tidak menyokong mana-mana blok, mendorong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menintahkan semua 30 Ahli Parlimen BN menghadap baginda di Istana Negara, mulai 10.30 pagi ini.

Mengulas perkembangan dalam kem BN, bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO melihat tindakan Ahli Parlimen BN itu mengingkari titah dan menghalang Agong menyempurnakan tugas melantik Perdana Menteri baharu.

Tan Sri Annuar Musa. - NSTP
Tan Sri Annuar Musa. - NSTP

Beliau yang digugurkan sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, juga berpandangan keputusan BN itu menunjukkan ada yang tidak kena dengan gabungan berkenaan ketika ini.

Antara perkara tidak kena, Annuar mendakwa, ada pihak tertentu dipercayai mendalangi tindakan melengahkan urusan menghadap Seri Paduka bagi memastikan rancangan dan komplot 'murid dan guru' tidak menemui kegagalan.

"BN sepatutnya tidak menyulitkan Yang di-Pertuan Agong daripada menyempurnakan tugas bqginda, namun kini jelas ada sesuatu yg tidak kena di pihak BN dan bukannya Istana Negara.

"Terdapat pihak yang kini cuba melengah-lengahkan titah menghadap kerana jika itu berlaku, sudah pasti rancangan dan komplot 'murid dan guru' akan gagal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, BH melaporkan BN sudah mengemukakan permohonan bagi menangguhkan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, yang dijadualkan pada jam 10.30 pagi ini, selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Ibu Pejabat UMNO malam tadi.

Baginda bertitah supaya semua 30 Ahli Parlimen menghadap susulan pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan Anwar, Pengerusi PH dan Muhyiddin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) petang semalam yang gagal merungkai kemelut pembentukan kerajaan baharu.

Annuar berpandangan, jika permohonan BN untuk menangguhkan urusan menghadap baginda diperkenankan, ia akan meletakkan Al-Sultan Abdullah dalam keadaan serba salah dan mungkin dituduh bekerjasama dengan pihak tertentu, sedangkan baginda hanya mahu perkara itu disempurnakan.

"Hal ini juga meletakkan BN sebagai parti yang dilihat berterusan menimbulkan masalah kepada rakyat, bukan menyelesaikan masalah rakyat.

"Inilah juga antara sebab BN ditolak rakyat. Semuanya berpunca daripada satu orang. Parti menanggung akibatnya. Belum cukupkah lagi kerosakan yang telah dibawa kepada parti ini," soalnya.

PH dan PN adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada PRU15. PH memperoleh 82 kerusi, manakala PN 73 kerusi, namun tidak cukup untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Isnin lalu, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam lagi kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang berkenaan,

Selaras lanjutan itu, parti politik memiliki lebih masa sehingga petang semalam untuk merundingi pembentukan kerajaan pasca PRU15, sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Lebih awal sebelum itu, pertemuan Ahli Parlimen BN dan PH menemui jalan buntu selepas tiada sebarang SD ditandatangani bagi menyokong pencalonan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Ketika usaha digiatkan pemimpin tertentu dalam BN supaya gabungan PH dan BN direalisasikan, wujud protes dari kalangan Ahli Parlimen gabungan itu sendiri yang menentang usaha itu.

Selain Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemimpin lain yang dikatakan turut menentang usaha menggabungkan BN dan PH adalah Bendahari BN yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo