NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kekusutan politik jadikan P.009 berpotensi cipta perubahan



UNIK
dengan suasananya tersendiri. Itulah yang boleh digambarkan terhadap suasana kempen PRU-15 di Parlimen P.009 Alor Setar, yang mempunyai keunikan tersendiri berbanding Parlimen lain. 

Afnan Hamimi bin Dato’ Taib Azamudden, calon anak muda Melayu Islam daripada PERIKATAN NASIONAL kelihatan mendapat sambutan luar biasa sepanjang tempoh kempen. Pengundi Alor Setar yang terdiri dari pelbagai lapisan dan latar belakang, pesawah, penjaja dan peniaga, anak muda, bandar, serta luar bandar rata-rata memberi respon yang sangat positif. 

Yang menarik, sokongan bukan sahaja datang dari kalangan penyokong tegar PAS dan PERIKATAN NASIONAL, bahkan ramai juga yang beri sokongan rupanya dari kalangan penyokong lawan, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Ketika turun kempen rumah ke rumah, kami bertemu dengan seorang mak cik atau lebih dikenali sebagai Maktok, berumur 75. 

Maktok berkongsi dengan kami kisah Maktok sebagai orang lama di Alor Setar, bagaimana Maktok beralih pendirian daripada parti lama kepada parti baru. 

“Mak cik lama dah berjuang dalam Barisan Nasional. Tapi mak cik kecewa. Rumah mak cik paling tak cantik dalam lorong ni. Tapi siapa pun tak ambil peduli. 

“Mak cik buat permohonan rumah ni dah tahun berapa dah. Sampai last sekali kan, mak cik minta bantu rumah ni tak dapat, last skali minta kat PAS. 

“PAS nak buat, dan Barisan Nasional dengar sahaja pagi esok itu ada orang nak buat rumah, petang tu depa (Barisan Nasional) terus mai hantar orang. Mak cik kata tak boleh cik oi, esok ada orang nak mai buat dah. 

“Kita mintalah bagi yang terbaik untuk PERIKATAN NASIONAL ni. Moga-moga Allah berikan kemudahan kat Ustaz, berjaya dalam perjuangan dia, kita berdoa sahaja, Allah bagi kemudahan kepada rakyat dan semua yang menyokong dia.”  

Begitulah perkongsian ikhlas Maktok kepada kami. Selepas 30 tahun berada di bawah wakil rakyat bukan-Melayu dan Islam, Maktok tekad untuk ubah dan beri sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL.  

Maktok salah seorang daripada ramai lagi yang kami jumpa dan telah menyatakan kesediaan untuk beralih arah dalam PRU-15 dan memberi sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL bagi P.009 Alor Setar.

Tambahan pula, luka ahli Umno Alor Setar masih basah selepas Ketua Bahagian mereka, Datuk Mohd Yusof Ismail digantung keahlian, dan MCA dipilih sebagai calon berbanding dari kalangan Umno. 

Keputusan MT Umno berbuat demikian, seakan tidak menghiraukan suara orang Melayu Islam di Alor Setar, yang sekian lama dikesampingkan. 

Justeru itu, calon PERIKATAN NASIONAL hadir dalam suasana orang Melayu Islam Alor Setar sangat mengharapkan seorang wakil yang mampu perjuangkan suara dan nasib orang Melayu ke Dewan Rakyat. 

Apakah sejarah bakal tercipta buat pertama kali semenjak 1955? 

Sekiranya momentum sambutan luar biasa ini berterusan, ia tidak mustahil. 

Bertuahlah orang Alor Setar sekiranya memilih PERIKATAN NASIONAL dalam PRU-15. Mendapat seorang anak muda berpotensi, berpendidikan tinggi (sedang melanjutkan pengajian di peringkat PHD di USM), berakhlak mulia, dan juga merupakan anak murid dan orang kanan kepada Menteri Besar Kedah yang sekarang, Dato Seri Hj Muhammad Sanusi.

Nafas baru untuk Alor Setar. 

SAIFUL MUJAHID MOHD FADZIL



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo