NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KDM nyatakan sokongan kepada Hajiji



KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) -- Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) hari ini menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menerajui kerajaan Sabah.

Timbalan Presiden KDM Datuk Wetrom Bahanda berkata pendirian itu selaras dengan ketetapan serta pendirian Hajiji dan GRS menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menyertai kerajaan  perpaduan.

Beliau berkata ketika perjumpaan pimpinan KDM diketuai Presidennya Datuk Peter Anthony bersama Anwar di Putrajaya semalam, Perdana Menteri menyatakan sokongan untuk Hajiji terus mentadbir kerajaan Sabah selaras dengan sokongan GRS kepada kerajaan perpaduan.

"Justeru parti KDM dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti ini menyokong Hajiji dan GRS untuk terus mentadbir dan menerajui Kerajaan Sabah,” katanya yang juga ADUN Bandau dan Ahli Parlimen Kota Marudu menerusi kenyataan hari ini.

Selain Wetrom, dua lagi ADUN daripada KDM ialah Peter (Melalap) dan Juil Nuatim (Limbahau).

Semalam, Anwar berkata kerajaan perpaduan pimpinannya mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini GRS. Kemudian Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick memaklumkan semua tujuh ADUN Pakatan Harapan menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Wetrom berkata Pilihan Raya Umum ke-15 baharu sahaja selesai, justeru KDM tidak mahu terlalu banyak berpolitik kerana sekarang adalah masanya untuk semua pihak bersama kerajaan perpaduan pimpinan Anwar membangun negara, negeri dan juga rakyat.

"Kini adalah masanya kita bersama-sama membangun dan membela rakyat dan Negeri Sabah yang masih ketinggalan dalam banyak segi terutamanya kawasan luar bandar yang amat memerlukan pembangunan,” katanya.

GRS dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi mentadbir negeri ini.

- BERNAMA 









........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo