Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menasihati supaya membentuk kerajaan perpaduan demi mengatasi kemelut politik, kata pengerusinya, Abang Johari Openg.
Bagaimanapun, Premier Sarawak itu berkata soal lantikan Kabinet Persekutuan terserah kepada Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai perdana menteri ke-10 hari ini.
Menurut Abang Johari, titah baginda diterima selepas rombongan GPS menghadap Yang di-Pertuan Agong yang diketuai Fadillah Yusof ke Istana Negara semalam.
"Baginda menasihati untuk membentuk kerajaan Perpaduan demi mengatasi kemelut politik," katanya pada satu sidang media di Kuching hari ini.
"GPS akur dengan titah baginda mengikut kuasa yang ada pada baginda di bawah Perlembagaan Malaysia.”
Sementara itu, Abang Johari berkata, GPS turut menerima menerima permohonan maaf daripada DAP yang dibuat menerusi kunjungan setiausaha agung parti itu Anthony Loke sebelum disusuli oleh Lim Guan Eng melalui akaun Facebook hari ini.
"Kita menerima permohonan maaf tersebut dengan hati terbuka dan jiwa yang besar," katanya.
Pada masa sama, Abang Johari turut mengingatkan supaya DAP terus menghormati parti-parti komponen GPS pada masa hadapan.
Ditanya mengenai hubungan GPS dan DAP di Sarawak, beliau menyifatkan keadaan adalah seperti biasa.
"Mereka tidak bersama kerajaan di sini, mereka masih pembangkang," katanya menjawab soalan wartawan.
Komen: .Tebuk Atap maknanya
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment