NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kabinet PH pernah desak untuk tukar 8 KSU kementerian - Azmin

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) didakwa rakus dan zalim ketika menerajui Kerajaan Persekutuan apabila menekan pegawai dan anggota kerajaan.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyifatkan pentadbiran 22 bulan PH sudah cukup untuk membuktikan watak PH yang sentiasa bersikap angkuh dan sombong.

Memberi contoh kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mengugut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, katanya ia satu bukti kenyataan PH yang angkuh dan sombong.

"Ini pun bukan kali pertama...ketika PH membentuk kerajaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri saya ada dalam itu, mereka mendesak Perdana Menteri untuk menukar lapan ketua setiausaha.

"Ini tidak pernah berlaku, mengapa PH ingin bergaduh dengan anggota perkhidmatan awam, mereka bukan orang politik.

"Anggota perkhidmatan melaksanakan dasar diputuskan kerajaan, jadi jangan bermusuh dengan anggota perkhidmatan awam kerana ia tidak ada keperluan.

"Tapi mungkin ini sudah ditakdirkan begitu, jadi anggota perkhidmatan awam boleh melihat sendiri watak PH yang senantiasa bersikap angkuh dan sombong dan cuba mendera anggota perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah pada majlis rapat umum PN di sini malam ini.

Rafizi ketika Ceramah Mega PH di Johor Bahru malam tadi, memberikan amaran kepada Azam sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini, susulan serbuan dilakukan SPRM terhadap syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd.

"Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, Insya Allah," demikian kata Rafizi.

Sementara itu Mohamed Azmin ketika ditanya mengenai saman bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadapnya, berkata itu terpulang hak masing-masing.

"Saya hanya mengemukakan beberapa perkara yang menyebabkan PH ditolak oleh rakyat, bukan sahaja orang Melayu marah tapi semua rakyat Malaysia merasakan tidak ada tempat dan ruang di bawah PH," katanya.

Guan Eng hari ini mengarahkan peguamnya memulakan prosiding saman fitnah terhadap Mohamed Azmin kerana didakwa membuat kenyataan palsu menjelang hari pengundian PRU15 Sabtu ini.

Pengerusi DAP itu berkata, Mohamed Azmin memfitnah dengan menyatakan beliau menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk 'mengejar' semua syarikat berkaitan MCA dan bertanggungjawab terhadap cukai baharu menyasarkan perniagaan Cina tertentu.

Guan Eng menafikan pernah menggunakan LHDN untuk menyasarkan mana-mana ahli perniagaan berbangsa Cina.

- BH

............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo