NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Johari dan Khalid bertikam lidah di media pasal Kampung Baru


PETALING JAYA:
Johari Ghani membidas sekeras-kerasnya tuduhan Khalid Samad kononnya beliau berdiam diri mengenai isu penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 di flat PKNS Kampung Sungai Baru dan meminta ahli politik itu jangan mempolitikkan isu berkaitan penduduk Kampung Baru untuk pilihan raya.

“Tuduhannya tidak benar sama sekali. Saya memang dari awal tidak bersetuju dengan cara pengambilan tanah menggunakan Akta Pengambilan Tanah, dan banyak kali menegaskan pendirian tersebut sejak saya masih menjadi wakil rakyat,” menurut Johari.

Bukan sahaja Johari tidak menyokong penggunaan Akta Pengambilan Tanah di Kampung Baru, malah beliau sendiri telah menunjukkan bahawa kawasan itu boleh dibangunkan semula tanpa perlu menggunakan akta kontroversi itu, melalui projek UDA Legasi.

UDA Legasi atau Legasi Kampung Baru ialah sebuah pangsapuri yang dibina oleh UDA Property di bawah kepimpinan Johari, siap pada 2020. Pangsapuri itu dengan kediaman yang kini dinilaikan antara RM700,000 hingga RM2.8 juta itu mempunyai unit-unit rumah yang sudah diberikan kepada penduduk yang menerima tawaran pembangunan semula kawasan mereka.

Johari menarik perhatian FMT kepada satu perjanjian antara pemaju dan pemilik flat PKNS Kampung Sungai Baru sekitar November 2018 yang begitu meresahkan beliau sehingga hari ini. Flat PKNS itu, yang terletak berhampiran Pintasan Saloma, berusia 42 tahun dan berada dalam keadaan usang.

Katanya, Khalid dan Ahli Parlimen sebelum ini iaitu Rina Harun nampaknya tidak cukup peka berhubung kebimbangan-kebimbangan sekitar perjanjian itu.

“Sebenarnya, Khalid dan Rina, dua orang menteri Kabinet yang gagal melindungi kepentingan pemilik unit dengan membiarkan 89% daripada mereka menandatangani perjanjian usaha sama dengan pemaju yang kredibilitinya diragui”.

Menurut Johari, pemaju terbabit memohon kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil rumah 11% penghuni yang tidak menandatangani perjanjian dengan mereka.

Sekiranya Khalid dan Rina lebih peka akan hal ini dari awal lagi, keperluan untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah tidak akan timbul, katanya, sekali lagi mengingatkan ahli politik itu tentang keberkesanan projek UDA Legasi mengimbangi kepentingan penduduk dengan keperluan pembangunan.

Perjanjian yang dimaksudkan oleh Johari itu, seperti yang dilihat oleh FMT, menunjukkan bahawa ia ditandatangani pada 3 Nov 2018, ketika Khalid menteri Wilayah Persekutuan.

Pada 2017, semasa Johari menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa, seorang pemaju tampil untuk membentuk usaha sama dengan penduduk flat bagi membangunkan semula kawasan tersebut.

“Pada masa itu, saya tidak setuju kerana tidak yakin dengan kemampuan dan kedudukan kewangan pemaju berkenaan untuk membangunkan kawasan tersebut,” kata Johari.

“Sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab ke atas kawasan di Kampung Baru, saya berjaya menasihati kebanyakan penduduk flat Kampung Sungai Baru supaya tidak menandatangani perjanjian dengan pemaju ini.”

Bagaimanapun, selepas beliau kalah pada PRU 2018, pemaju itu kembali dan berjaya meyakinkan 89% daripada penduduk flat itu untuk menandatangani perjanjian dengannya.

Pemaju kemudian memohon kepada kerajaan untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi memperoleh baki 11% unit flat itu secara paksa.

Johari menambah, dokumen perjanjian projek antara pemaju dan penduduk ditandatangani pada November 2018, dan penghuni telah pun dipindahkan ke rumah sementara. Janji pemaju berkenaan adalah menyiapkan projek pembangunan Kampung Sungai Baru ini dalam tempoh lima tahun.

Bagaimanapun, sudah empat tahun lapan bulan berlalu, kerja masih belum bermula.

“Khalid ialah menteri yang bertanggungjawab ketika itu dan mempunyai kuasa. Malah beliau sendiri pada waktu itu telah mempertimbangkan untuk menggunakan akta itu. Kemudian, beliau menuduh saya tidak bersuara?” kata Johari.

“Jika saya dapat mandat, saya beri komitmen untuk menyelesaikan perkara itu dengan cara yang adil dan saksama.”

Menurut beliau lagi, “kita ada model yang berjaya, iaitu UDA Legasi di mana pembangunan semula sebuah kawasan di Kampung Baru dilaksanakan tanpa menggunakan Akta Pengambilan Tanah.”

“Kita boleh mengulangi kejayaan ini,” kata Johari.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo