KUALA SELANGOR: Surat bertarikh 27 Okt yang didedahkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, semalam, bukan persetujuan menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat, sebaliknya merupakan kelulusan untuk rundingan dibuat dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, berkata selepas mendapat
kelulusan secara dasar untuk berunding, Kasa selaku kementerian
bertanggungjawab masih perlu berunding dengan syarikat berkenaan
dan
akan mengesyorkan langkah seterusnya kepada Kementerian Kewangan.
“Kasa akan membuat perbincangan tentang apa yang diperlukan dan pada masa sama akan membuat penilaian sama ada syarikat itu diluluskan atau tidak yang melibatkan tahap kewangan, teknikal dan sebagainya, sekurang-kurangnya mengambil masa dua hingga tiga bulan.
“Bagi saya, saya percaya ini adalah isu yang dipolitikkan kerana perkara itu ‘clear’ (jelas), tiada surat setuju terima (LoA) dan surat niat (LoI) (diberikan). Hanya ada kelulusan untuk syarikat tersebut berunding dengan Kasa,” katanya kepada pemberita.
Justeru, beliau menasihati Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pandan untuk terus melaporkan dahulu sebarang salah laku dalam kerajaan kepada pihak berkuasa dan bukannya membuat pendedahan seperti itu.
“Pergilah jumpa polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pihak-pihak yang berkuasa,” katanya sambil menambah adalah lebih baik para pemimpin membuat pengumuman apa yang mahu dibuat untuk pembangunan demi kebaikan rakyat.
“Itu yang rakyat nak dengar. Saya rasa dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini, saya pun ramai kawan-kawan yang letih dengan politik dan ahli politik kerana terlalu banyak berpolitik,” katanya.
Semalam, Rafizi mendedahkan satu surat berkenaan projek naik taraf loji bagi kawasan tadahan pembetungan bernilai RM285 juta di Klang Selatan, bertarikh 27 Okt.
Rafizi mendakwa projek itu diluluskan 17 hari selepas Parlimen dibubarkan, pada 10 Okt.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment