NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Istilah ‘KERAJAAN PERPADUAN’ kurang cantik dan tidak tepat

Jika ingin menzahirkan komitmen untuk menyatukan rakyat berbilang kaum, agama dan idelogi politik, penzahiran itu tidak perlu melalui penamaan kerajaan, tetapi melalui slogan, tema, atau cogankata seperti ‘Keluarga Malaysia’, ‘Satu Malaysia’, ‘Demi Malaysia’ atau seumpamanya.

Jadi menamakan Kerajaan Persekutuan Malaysia sekarang sebagai ‘kerajaan perpaduan’ atau ‘unity government’ bukanlah satu langkah yang baik. Dari sudut istilahnya memang salah kerana hakikatnya kerajaan sekarang adalah kerajaan campuran. Kerajaan perpaduan sebenar hanya wujud bila semua parti menyertai kerajaan sehingga tidak ada pembangkang.

Selain itu, imej bentuk ‘kerajaan perpaduan’ tidak cantik kerana ia ditubuhkan dalam situasi krisis besar atau perang. Negara kita bukan dalam perang atau krisis besar. Perbezaan pendirian politik, kehangatan kempen pilihan raya umum, dan pola pengundian bukan kayu ukur untuk mengatakan rakyat kita berpecah atau bergeseran. 

Kecenderungan politik bukan landasan untuk meletakkan rakyat dalam sempadan-sempadan yang berasingan. Hakikatnya yang bising berbalah adalah orang politik, bukannya rakyat secara umumnya. Bahkan ahli-ahli politik pun, masih mampu bertepuk bahu dan minum bersama bila bertemu dan bersua. 

Walau pun kita ada cabaran dari sudut perpaduan dan keharmonian rakyat, namun ia usaha berterusan yang menjadi tanggungjawab sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan. Bahkan ia juga adalah tanggungjawab semua pihak termasuk masyarakat awam.

Di luar negara, ‘kerajaan perpaduan’ diwujudkan sebagai satu langkah sementara untuk menyelesaikan satu-satu masalah. Ia seolah-olah menangguhkan sebentar proses demokrasi biasa bagi membolehkan satu bentuk kerajaan istimewa ditubuhkan bagi mendamaikan kelompok yang bertelingkah. Adakah kita ingin ‘menangguhkan proses demokrasi’ dengan mewujudkan kerajaan perpaduan? Tentunya tidak. 

Jika disemak pengalaman negara-negara yang menubuhkan kerajaan perpaduan, kita akan dapati bahawa tempoh hayat kerajaan perpaduan amat singkat. Kebiasaannya dalam tempoh setahun dua, sebagaimana yang berlaku di Itali, Myammar, Palestin, Afghanistan dan lain-lain. Tentunya kita tidak mahu kerajaan kita rapuh dan tidak stabil.

Perlu diingat juga kerajaan perpaduan bermaksud, kerajaan tanpa pembangkang. Maksudnya tidak ada parti atau ahli Parlimen yang dapat melaksanakan tanggungjawab ‘semak dan imbang’ secara kolektif dan efektif. Tambahan pula di Malaysia, Jemaah Kabinet yang ditubuhkan tertakluk kepada prinsip ‘collective responsibility’ atau pertanggungjawaban bersama, yang mengikat setiap parti komponen untuk mematuhi dan tidak membantah keputusan kerajaan. Manakala undang-undang anti lompat pula menghalang ahli-ahli Parlimen untuk bertindak bertentangan dengan kehendak parti. Jadi jika kerajaan perpaduan benar-benar dilaksanakan, maka tiada pembangkang dan tiada proses semak dan imbang.

Ringkasnya, buat masa kini kita tidak perlukan kerajaan perpaduan, kerajaan pada hari ini amat tidak sesuai dikenali sebagai kerajaan perpaduan. MFY.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo