NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ismail patut cabar Zahid jawatan presiden Umno, kata KJ

Jika Ismail Sabri Yaakob (kiri) dilantik semula sebagai perdana menteri, beliau sepatutnya disokong sekiranya bertanding bagi jawatan presiden Umno yang disandang Ahmad Zahid Hamidi, kata Khairy Jamaluddin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin percaya Ismail Sabri Yaakob perlu mencabar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam pemilihan parti, jika beliau dilantik semula sebagai perdana menteri, selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ditanya dalam wawancara bersama BFM sama ada beliau akan bertanding lagi bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan parti, yang akan diadakan tidak lebih enam bulan selepas PRU15, bekas ketua Pemuda Umno itu berkata beliau akan menyeberang “jambatan bila tiba masanya”.

“Seperti yang saya katakan, Ismail akan menjadi perdana menteri, kami patut menyokongnya sebagai presiden parti,” katanya.

“Dan orang lain, Hisham (Hishammuddin Hussein), saya sendiri, akan mengadakan perbincangan mengenai siapa yang akan lawan jawatan nombor dua (timbalan presiden).”

Ketika ini, Ismail merupakan seorang daripada tiga naib presiden Umno.

Khairy yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, sebelum ini pernah bertanding merebut jawatan presiden Umno bagi penggal 2018-2021, namun tewas selepas berada pada kedudukan kedua, di belakang Zahid.

Zahid meraih 99 undi, manakala Khairy menerima 61. Veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah berada pada kedudukan ketiga dengan 30 undi.

Pada Julai, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan permohonan Umno meminda perlembagaannya dan menangguhkan pemilihan parti hingga enam bulan selepas pilihan raya umum, atau hingga 18 bulan dari tempoh tamat penggal kepimpinan.

Mengulas perkara itu Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata parti akan mengadakan pemilihan tidak lebih dari enam bulan selepas PRU15.

Pemilihan parti itu sepatutnya diadakan pada 2020, bagaimanapun ditangguh susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).


Sumber I FMT Malaysia 




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo