PETALING JAYA: Umno melantik Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Isham Jalil sebagai ketua penerangan parti susulan peletakan jawatan Shahril Hamdan.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, pelantikan Isham berkuat kuasa serta-merta.
“Saya ingin sahkan menurut Fasal 9.6 Perlembagaan Umno, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi telah melantik Isham Jalil sebagai ketua penerangan Umno berkuat kuasa hari ini berikutan peletakan jawatan Shahril Hamdan,” tulisnya di Twitter.
Isham menerusi Twitter berikrar akan memegang amanah itu sebaik-baiknya.
“Saya ucapkan terima kasih atas pelantikan ini dan kepercayaan parti terhadap saya.”
Jun lalu, Barisan Nasional (BN) Selangor menamatkan perkhidmatan Isham sebagai ketua penerangannya kerana jawatan itu tidak termaktub dalam perlembagaan BN.
Terdahulu, Shahril yang dilantik sebagai ketua penerangan Umno pada 12 Mac 2020, melepaskan jawatan itu “atas semangat tanggungjawab kolektif”, susulan kekalahan BN semalam.
Beliau turut menyarankan Presiden Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi “berundur secara terhormat”.
BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 berbanding Pakatan Harapan yang menguasai 82 kerusi dan Perikatan Nasional (73).
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment