NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Infrastruktur, pendidikan dan pendapatan Orang Asli tumpuan kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen P.090 Bera bersama masyarakat orang asli ketika hadir pada program Moh Ngeteh di Kampung Sg Tuang, Triang.

BERA, 6 Nov (Bernama) -- Pembangunan masyarakat Orang Asli menerusi tiga fokus utama iaitu infrastruktur, pendidikan dan pendapatan menjadi tumpuan kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesungguhan kerajaan itu dapat dilihat menerusi peruntukan yang disediakan khusus untuk pembangunan masyarakat Orang Asli dalam Bajet 2023, iaitu sebanyak RM305 juta berbanding RM274 juta pada tahun ini. 

"Kerajaan juga mahu menyelesaikan isu kampung serpihan dengan membangunkan lebih banyak perkampungan baharu. Kampung yang dibangunkan kerajaan adalah lebih cantik dan dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur sewajarnya. 

"Seperti di kampung ini...tetapi kadang-kadang ada yang membina kampung baharu yang kedudukannya agak terpencil. Itu yang menyebabkan banyak kampung yang perlu kita bangunkan lagi," katanya semasa menghadiri Pogram Moh Ngeteh di Kampung Orang Asli Sungai Tuang di sini hari ini. 

Beliau juga menekankan bahawa kerajaan sentiasa menitikberatkan isu pendidikan anak Orang Asli, kerana beliau percaya pendidikan adalah platform terbaik untuk seseorang mengubah nasib diri dan keluarga ke arah lebih baik. 

Sebagai contoh, Ismail Sabri merujuk kepada program dilaksanakan kerajaan menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang turut menghantar generasi muda golongan itu yang layak melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Kerajaan juga merancang dan melaksanakan pelbagai program bantuan serta pemberian inisiatif kepada masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka, termasuk dalam program keusahawanan melibatkan program latihan, kemahiran dan bimbingan supaya projek yang dilaksanakan mendatangkan hasil.

Sementara itu, dalam program berasingan, Ismail Sabri berkata lokasi dan pembangunan litar lumba “drag” untuk sukan permotoran di Bera akan diumumkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memandangkan daerah itu adalah satu daripada lokasi rancangan pembinaan litar itu yang diumumkan pada pembentangan bajet 7 Okt lepas. 

"Pejabat daerah telah diminta mencari kawasan mana yang sesuai (untuk pembinaan litar) dan kita juga perlu membentangkan semula bajet untuk kelulusan kerana Parlimen dibubarkan sebelum ia diluluskan,” katanya selepas menghadiri program “Ride Amal dan Ride to Jannah 4.0” di Felda Bukit Mendi, Kemayan di sini.

Pembinaan litar itu di setiap negeri dengan peruntukan RM20 juta, adalah bagi menggalakkan belia dalam sukan permotoran melalui platform yang tepat. 

-- BERNAMA 




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo