PETALING JAYA: Seorang ahli akademik mempersoalkan tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit dalam insiden memijak kolam hiasan Deepavali kerana mencetuskan ketidakharmonian kaum tetapi ia tidak dikenakan terhadap tokoh terkenal yang melakukan perkara hampir serupa sebelum ini.
Tajuddin Mohd Rasdi, seorang intelektual awam menyuarakan kebimbangan berhubung tahap tindakan segera dan ketegasan sama tidak dikenakan terhadap Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor atau Presiden PAS Abdul Hadi Awang atas tindakan mereka yang lalu.
Beliau mengulas penahanan dua individu pada Isnin berhubung video tular selepas mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.
Dalam video itu, lelaki terbabit dilihat memijak kolam hiasan berkenaan dan menggunakan kakinya untuk merosakkannya. Seorang lagi yang melihatnya kedengaran berkata “vandalisme”.
“Kenapa (tiada tindakan diambil terhadap) Sanusi kerana memusnahkan kuil Hindu di Kedah? Ya, kuil itu berada di kawasan haram, (tetapi) mengapa memusnahkannya dan bukan memindahkan ke lokasi lain?
“Lagipun mengapa terlalu lambat respons terhadap tindakan Hadi menggelar ahli DAP komunis? Parti yang dipersoalkan itu mempunyai ahli beragama Kristian, Buddha dan Islam dan tidak ada kaitan dengan komunis atau kepercayaan itu,” kata Tajuddin.
Menurutnya, tiada tindakan juga diambil terhadap Hadi kerana mendakwa bukan Islam adalah punca kepada rasuah.
Pada Disember 2020, Sanusi dilaporkan menjadi perhatian kerana memberi kebenaran kepada Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Kuala Kedah, yang sudah lama didirikan di atas tanah negeri sebelum PAS berkuasa.
Bulan lalu, dalam beberapa hantaran di Twitter, Hadi dilaporkan berkata DAP mesti ditentang sekeras-kerasnya kerana ia “pro-komunis”, sambil menambah bahawa komunisme adalah ideologi sekular yang menolak kepercayaan kepada Tuhan.
Beliau berkata, walaupun komunis di sini tidak menjalankan kempen ketenteraan seperti di Barat, mereka akan “menjajah” fikiran pelbagai kaum.
Tajuddin berkata, penahanan reman terhadap dua individu berhubung insiden kolam hiasan itu menghantar isyarat salah, kerana ia membayangkan bahawa ahli politik dan tokoh terkenal bebas mencemarkan kepercayaan orang lain tanpa akibat manakala golongan muda dihukum berat.
“Dua anak muda ini mungkin boleh dikenakan tindakan disiplin oleh majikan mereka dan itu sudah memadai.
“Saya tidak mengambil mudah perkara mencemarkan artifak, tempat dan nilai kepercayaan agama, tetapi kita mesti mengubah kebimbangan kita dalam konteks niat dan juga tahap pendidikan pelakunya,” katanya.
Sumber I FMT Malaysia
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment