NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Iktibar PRU15


POLITIK di Malaysia sebahagian besarnya masih berasaskan perkauman.

Hasil masyhul Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memaparkan realiti ini. Gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kini menjadi keserasian baharu untuk orang Melayu. Sentimen pengundi Cina terhadap DAP pula bertebaran di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Negeri Sembilan serta Melaka.

Ada ketika ‘hal tidak rasional’ berlaku. Diletakkan pemim­pin Melayu dalam pekan Cina, dia boleh menang disebabkan obses kalangan orang Cina terhadap DAP. Ia juga mencerminkan kelunturan tarikan kaum itu terhadap MCA dan Gerakan. Adakah keterlaluan sokongan kepada DAP ini, lantas menghasilkan satu trend tidak menguntungkan kepada tanah air?

Kewujudan UMNO, PKR, DAP, Bersatu, Pas, MCA, MIC serta parti-parti tempatan di Sabah dan Sarawak menampakkan sentimen perkauman itu. Ini sekali gus menjadikan peluang untuk mengejar impian menjadi seorang Perdana Menteri adalah sedikit dan tempoh jaraknya amat jauh.

Lagipun hakikat politik negara ini adalah suatu permainan jumlah bilangan (kerusi/ahli Parlimen), mana-mana parti/gabungan politik yang fokus ke situ akan kekal dalam asas pemilihan tempoh tertentu.

Sesekali kita teringat pesanan orang lama – seorang ahli politik tidak boleh kelihatan ‘terlalu pandai’ sehingga ketua yang beliau berkhidmat dilihat kurang bijak. Mesti ada sedikit sifat Machiavelli di sini untuk bertahan lama dalam politik.

Namun, apakah tidak perlu ‘lintang-pukang’ sangat mencari kedudukan dalam parti? Mungkinkah tuah tetap mendatang jika jujur dan kuat bekerja? Orang Melayu menyebut tuah badan atau luck ini bulan jatuh ke riba.

Pujangga Inggeris Shakespeare memanggilnya sebagai greatness being entrusted upon. Dalam politik, selain kebolehan, mesti ada nasib atau ‘tuan badan’. Walau macam mana bergeliga sekalipun seseorang itu, tanpa nasib atau alur tangan yang tertentu, seseorang itu sukar menang untuk naik ke atas.

Cuma dalam istilah ‘nasib’ mesti ditemani oleh keadaan mengizinkan dan dalam konteks semasa, si calon mesti ada bekalan kewangan yang banyak. Benarkah? Wallahualam.

Meneliti post mortem PRU15, boleh dirumuskan begini – orang politik harus menghindari empat penyakit lazim yang se­ring melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa. Empat penyakit itu ialah delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan. Hakikatnya parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri.

Pertama, penyakit delusion kerana berasa khayal dan te­rawang-awang bahawa sokongan yang diterima daripada rak­yat akan berterusan.

Kedua, penyakit amnesia kerana sudah terlupa akan sebab musabab atau tujuan perjuangan asal. Ketiga pula, penyakit iner­tia yang terjadi apabila enggan membuat pembaharuan dan perubahan.

Seterusnya pula, yang keempat, adalah penyakit arrogance yang mencerminkan sikap tidak boleh menerima teguran ramai.

Sesungguhnya, semua penyakit tersebut terutamanya keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan berasa menyampah.

Oleh itu, tidak dapat tidak, keempat-empat gejala penyakit ini perlu dielak, dibuang jauh dan dikikis sebelum rasa sayang berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan, soko­ngan menjadi penentangan. – UTUSAN

Zulkifli Jalil
Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo