Berterus terang biasanya akan membantu meleraikan kekusutuan, tapi tak semestinya. Berterus terang boleh menjadi bala kepada mereka yang berterus terang. Dalam politik, jika kita boleh mengelak risiko, kita akan elak namun dalam beberapa waktu kita harus mengambil risiko.
Maka biar saya berterus terang dan mengambil risiko ini, jika ia membantu parti maka ada faedah tetapi jika tidak, maafkan saya. Yang baik selalunya pahit dan sedikit. Begitulah rupa dunia.
Tun M (Dr Mahathir Mohamad) tidak kalah, yang kalah ialah kita - Pejuang, Berjasa, Iman, Putra, Gagasan Bangsa. Kenapa kita kalah dan bukan Tun M?
Tun M mewakili sebuah idea. Idea ini akan terus hidup melangkaui zaman selama mana ada manusia mahu menimba ilmu darinya. Idea ini tak duduk dalam organisasi atau parti yang jumud (fizikal).
Sesebuah parti akan melalui proses kematangan di samping memperbaiki kelemahan dari pelbagai aspek dan ditekan dengan sumber yang terhad. Maka, apabila sesebuah parti kalah dalam pertandingan ia kerana kelemahan organisasi dari aspek-aspek di atas, bukan idea.
Pejuang telah kalah teruk di Pilihan Raya Negeri Johor awal tahun ini. Untuk memperbaiki kelemahan itu, Tun M menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA) dengan idea untuk menyatukan sisa-sisa kekuatan yang ada di kalangan parti Melayu iaitu Berjasa, Putra dan Iman.
Usaha ini dilihat tidak cukup dan Tun M mengangkat satu lagi idea baharu iaitu dengan menjemput wakil-wakil NGO untuk bersama dalam GTA. Usaha ini jelas sekali untuk mengatasi kelemahan parti agar lebih ramai wakil yang terlibat.
Sayangnya kesilapan PRN yang seharusnya menjadi 'wake up call', tak berlaku. Idea baharu yang Tun M wujudkan ini juga gagal dimanfaatkan oleh kita semua. Maka sejarah berulang kembali dengan cara yang amat perit. Namun, inilah lumrah berjuang.
Walaupun Pejuang kalah, tetapi idea Tun masih segar dan berguna. Sebagai contoh.
i. Tun telah melihat senario hari ini sebelum PRU15 lagi iaitu parti-parti politik akan hadapi kesukaran untuk menang dengan majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan. Beliau merendahkan diri untuk menghulurkan kerjasama tetapi ditolak. Hari ini kita dapat lihat bagaimana PH terpaksa bekerjasama dengan BN dan regim kleptokrasi.
ii. Lebih awal dari itu, semasa berlakunya Langkah Sheraton, Tun mencadangkan agar sebuah kerajaan perpaduan untuk menstabilkan politik negara, juga ditolak oleh parti-parti politik. Tetapi hari ini, kerajaan perpaduanlah yang wujud, sama seperti idea Tun M sebelum ini.
Idea-idea Tun banyak lagi, namun tak dapat dilaksanakan kerana parti GTA Pejuang telah kalah. Namun, idea-idea ini tetap subur dan pastinya akan digunakan dan diambil manfaatnya untuk rakyat dan negara oleh pelbagai pihak dan platform, tak semestinya parti politik.
Kerana itu Tun berhasrat beliau akan mengisi masanya yang ada dengan menulis. Menulis adalah satu idea yang tidak akan kering.
Idea yang besar tak mampu dipikul oleh sebuah parti yang kecil. Parti kecil hanya boleh menjadi besar bila kita semua, ahli dan pimpinannya berjiwa besar. Mereka yang berjiwa besar mesti berani berkorban dan sentiasa memperbaiki diri. Jika tidak, GTA dan Pejuang hanya akan tinggal nama.
Mahdzir Ibrahim
Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment