NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hasrat mangsa banjir pulang ke rumah terbantut kerana masih digenangi air


TASEK GELUGOR, 13 Nov (Bernama) -- Hasrat puluhan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi untuk pulang ke kediaman masing-masing tidak kesampaian selepas kawasan itu masih digenangi air.

Meskipun keadaan cuaca agak baik hari ini, situasi air kekal sehingga paras lutut iaitu kira-kira 0.5 meter.

Pekerja swasta, Nur Aminina Adnan, 20, dari Kampung Seberang Tok Dol, Tasek Gelugor berkata beliau dan keluarga terpaksa membatalkan hasrat itu memandangkan keadaan paras air masih tinggi.

“Kami ingat boleh balik ke rumah hari ini kerana cuaca semakin baik. Tetapi apabila abang saya balik untuk melihat keadaan, air belum surut dan masih tinggi iaitu kira-kira paras lutut. Jadi kami takut nak balik rumah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS berkenaan.

Penduduk Kampung Padang Menora, Mohd Firdaus Mohd Sabri, 32, berkata rumahnya turut mengalami masalah banjir termenung dengan air dilihat semakin naik walaupun tidak lagi hujan.

Pemandu lori itu berkata beliau berharap air akan surut dalam masa terdekat kerana perlu mencari rezeki untuk menampung kehidupan keluarga.

Penolong Pengarah Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang Mej (PA) Kamal Jakarinah berkata setakat ini kesemua mangsa di PPS itu masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan semasa yang masih belum selamat.

Beliau berkata pihaknya juga akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa sebelum mangsa dibenarkan pulang.

"Memang ada rumah yang masih digenangi air termasuk di kawasan halaman, sebab itu kita masih belum benarkan mereka pulang. Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi kemungkinan malam ini hujan lebat di kawasan berkenaan dan kita bimbang jika kediaman mereka akan terus dilanda banjir.

"Jadi lebih selamat mereka berada di PPS dan bila keadaan air betul-betul surut, kita akan benarkan penduduk balik. Sekarang, pihak APM turut menyediakan makanan kepada penduduk yang terjejas banjir tetapi menumpang di rumah anggota keluarga," katanya kepada Bernama.

Setakat 2 petang tadi, PPS Sekolah Kebangsaaan Lahar Yooi menempatkan seramai 54 mangsa daripada 12 keluarga.

-- BERNAMA




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo