Khairy Jamaluddin yang sebelum ini mendakwa Umno tidak memberinya pilihan selain bertanding di kubu kuat PKR iaitu Sungai Buloh, kini berharap penyokong PAS dapat membantunya.
Hayat politik Khairy kini bergantung kepada undi Melayu di kerusi itu dan PAS boleh menjadi faktor di hari pengundian nanti.
Di bawah sistem “first-past-the-post”, undi untuk PAS tidak semestinya akan diterjemahkan kepada kerusi namun parti itu boleh menjadi faktor penentu di beberapa kerusi panas.
PAS bertanding di lapan daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor dan salah satunya adalah Sungai Buloh.
Pada PRU14, calon PAS mendapat tempat kedua dengan meraih 16,997 undi (21.8 peratus), lebih sedikit berbanding calon MIC yang mendapat 16,681 undi (21.4 peratus).
Kali ini, hala sokongan penyokong PAS dan pengundi atas pagar akan menentukan siapa pemenang di situ.
Ketika ceramah pada malam Selasa lalu, Khairy cuba meraih sokongan penyokong PAS dengan menyifatkan parti itu sebagai "BFF" (best friend forever) kepada parti itu.
Menteri kesihatan sementara itu juga mendakwa dia bersahabat baik dengan menteri-menteri PAS seperti Tuan Ibrahim Tuan Man, Takiyuddin Hasan dan Idris Ahmad dan berjanji akan menjaga penyokong PAS jika dia menang kali ini.
Dia membangkitkan bahawa orang Melayu merangkumi 65 peratus pengundi di Sungai Buloh dan jika kebanyakannya mengundi calon yang sama, calon tersebut akan mendapat kemenangan.
Namun, katanya, perpecahan undi antara penyokong Umno dan PAS akan menyebabkan kekalahan kedua-dua parti itu.
"Tapi masalahnya dua parti besar Melayu bertanding di Sungai Buloh. Jadi ada yang pilih PH, ada yang pilih Umno, ada yang pilih PAS. Kita tak akan menang.
"Bukan kita tak sayang dengan calon PAS. (Calon PAS) Mohd Ghazali Md Hamin pun kita dah jumpa. Tapi kalau tengok, siapa ada kemungkinan lebih besar untuk menang?"
"Saya rasa saya sedikit ada kemungkinan besar untuk menang. Orang PAS kalau bagi (undi) kepada Haji Ghazali, mungkin dua-dua kita kalah.
"Jadi PAS tak perlu kempen untuk saya, saya faham. Tapi bisik-bisiklah, dan bila masuk ke pusat pengundi, undi KJ. Saya akan jaga orang PAS sebagai ahli parlimen Sungai Buloh," katanya lagi.
Khairy kemudian melaungkan takbir sebanyak tiga kali dan disambut hadirin dengan "Allahu Akbar".
“KJ sudah boleh bertakbir dah,” katanya lagi.
Jurutera lawan menteri 'kacak'
Ghazali bagaimanapun tidak menyambut baik seruan itu. "Jika saya menang, saya malah boleh jadi ahli parlimen kepada anggota DAP," balasnya ketika diminta mengulas cadangan Khairy.
Pada masa sama, Ghazali mengaku dia berdepan saingan sukar memandangkan berdepan dengan calon menteri yang juga seorang yang "kacak".
Mohd Ghazali |
Kempen PAS di Sungai Buloh setakat ini memberi tumpuan kepada latar belakang profesional Ghazali sebagai jurutera, di mana syarikat lamanya pernah terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke).
Bercakap di Mutiara Subang semalam, Ghazali memberitahu hadirin bahawa dia juga ahli jawatankuasa masjid Kota Damansara dan pengasas serta presiden NGO Dapur Rakyat Subang.
Sungai Buloh adalah kerusi campuran dengan 22 peratus pengundi Cina, 11 peratus pengundi India dan dua peratus lagi dari kaum lain.
Ia merupakan kerusi tradisional MIC sehinggalah ia dirampas R Sivarasa dari PKR pada 2008. Sivarasa mengekalkan kemenangannya dalam PRU 2013 dan PRU 2018.
Namun kali ini PKR menggantikannya dengan seorang muka baru, R Ramanan. Langkah itu boleh memberi kelebihan kepada Khairy.
Sementara itu, seorang penyokong PAS yang hanya ingin dikenali sebagai Rahim memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu berharap dapat meraih lebih banyak undi Melayu jika BN juga meletakkan calon India.
Strategi itu menjadi ketika PRN Melaka pada November tahun lalu. Ketika itu, Bersatu/PN meletakkan Mohd Yadzil Yaakub di kerusi DUN Bemban untuk bersaing dengan calon Cina dari DAP dan MCA.
Yadzil menang dengan majoriti 328 undi.
Sumber | Malaysiakini
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment