NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hamzah dedah Tok Mat jumpa di kediaman untuk ‘minta tolong’


LARUT:
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mendedahkan Mohamad Hasan sanggup berjumpa di kediamannya “meminta tolong”, pada April 2019, sebagai reaksi kenyataan timbalan presiden Umno itu mengkritik Bersatu, baru-baru ini, kerana “berlagak suci”.

Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu, bagaimanapun mencetuskan ‘misteri’ kerana enggan mengulas lanjut mengenai permohonan Mohamad kepadanya, dan mahu wartawan sendiri mengajukan persoalan berkenaan kepada bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

“Kalau dia kata PN (Bersatu) ini berlagak bersih, saya nak maklumkan kepada Tok Mat Hasan, soalan ini saya minta wartawan juga tanya kan benda ini (kepada Mohamad), ada tak bulan April 2019 ,Tok Mat Hassan datang rumah saya datang minta tolong?

“Itu sahaja soalannya supaya dia boleh jawab… saya tak mahu timbulkan perkara yang bukan-bukan,” katanya pada sidang media selepas menziarahi Kampung Sungai Rambutan, Selama, malam tadi.

Semalam, Mohamad memberi amaran kepada Bersatu supaya tidak “berlagak suci” memandangkan parti itu bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) menipu rakyat, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) itu, berkata rakyat perlu menilai kembali “dosa-dosa” Bersatu dalam gabungan itu walaupun parti berkenaan kini bersama Perikatan Nasional (PN).

“Bersatu terlibat merangka manifesto yang tidak ditepati tetapi orang lupa tentang itu kerana mereka sudah keluar daripada PH. Bersatu jangan ingat mereka tiada dosa dan sekarang apabila masuk PN berlagak suci pula,” kata Mohamad.

Mengenai dakwaan Nga Kor Ming negara akan menjadi “taliban” sekiranya PN berkuasa, Hamzah berkata, ketua DAP Perak itu sebagai “cetek pemikiran”.

Malah, beliau tidak akan teragak-agak membuat laporan polis sekiranya kenyataan itu mencetuskan rusuhan kaum.

“Saya rasa dia seorang yang cetek pemikirannya, kerana dia hanya membakar semangat kumpulan-kumpulan tertentu nak menakut-nakutkan golongan tertentu.

“(Sekiranya) ada perkara-perkara yang membabitkan rusuhan atas sifat beliau mengeluarkan kenyataan itu, saya akan buat laporan polis dan saya minta supaya polis mengambil tindakan,” katanya.

Nga semalam mendakwa dasar “pelampau” yang diketengah PAS mengenai perjudian, arak, konsert dan pengasingan lelaki dan wanita sememangnya mengancam nilai sekular dan kepelbagaian budaya negara.

Katanya, dasar berkenaan akan ‘menceroboh’ kebebasan orang bukan Islam serta membawa kepada penghijrahan pelabur asing yang secara langsung memberi kesan kepada ekonomi.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo