NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gugur nama besar Umno tak beri kesan kempen di Johor, kata Razali

Calon BN Pagoh Razali Ibrahim berkata ahi parti perlu pandang positif percaturan dibuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengetengahkan muka baharu. (Gambar Facebook)

PAGOH: Keputusan Barisan Nasional (BN) menggugurkan beberapa nama besar daripada calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak memberi kesan besar atau mengganggu perjalanan kempen di Johor, kata Razali Ibrahim.

Calon BN bagi kerusi Pagoh itu berkata sebagai “orang parti” mereka seharusnya perlu berlapang dada dan memandang positif dengan setiap percaturan dibuat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun mengaku terdapat sedikit masalah di Johor berhubung pengguguran pemimpin di negeri itu, tetapi perkara itu telah dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya telah dapat maklumat masalah itu sudah selesai.

“Tetapi soal hati dan perasaan bagilah masa. Dia perlu ambil masa,” katanya kepada FMT ketika ditemubual di Kompleks Seri Pekembar.

Antara tokoh digugurkan termasuk Shahidan Kassim (Arau), Annuar Musa (Ketereh), Halimah Sadique (Kota Tinggi), Dr Adham Baba (Tenggara), Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) dan Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak).

Semalam Shahidan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di Arau dan Zahidi bertanding atas tiket bebas di Padang Besar.

Dalam pada itu, Razali yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno turut memuji sikap “berjiwa besar” pemimpin yang tidak dicalonkan tetapi membantu kempen BN dalam PRU15.

Beliau berkata, sudah tentu pemimpin tersebut akan mendapat penghormatan tertinggi daripada ahli parti.

“Ada yang OK, terbuka dan boleh terima serta tolong kempen lagi.

“Ada itu ambil masa sikit dan ada yang terus tanding parti lawan. Ada banyak kategori orang yang ‘stay’ sini dapat penghormatan yang sangat tinggi dari ahli parti. Orang yang pergi tinggalkan dia tidak dapat beri kesan pun,” katanya.

Sementara itu, Razali meminta semua pihak memandang dari sudut positif seperti tindakan BN memperkenalkan calon muka baharu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka yang membawa kejayaan.

Katanya, pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai juga atas prinsip BN apabila kerusi yang sepatutnya diberi kepada Umno ditukar kepada MCA telah hasilkan kejayaan besar.

“Saya rasa lebih baik kepada Umno melihat perkara-perkara positif terhadap perubahan berlaku.

“Ini adalah ‘wisdom’ patut beri pada pucuk pimpinan. Kita penyokong tugasnya ikut sokonglah yang baik,” katanya.


Sumber I FMT Malaysia 



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo