Hajiji bersama Ahli Parlimen GRS pada pertemuan dengan Muhyiddin di Kuala Lumpur semalam. Foto ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah. |
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali lagi menegaskan pihaknya menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Pengerusinya, Datuk Hajiji Noor, berkata GRS juga menyokong pembentukan Kerajaan Persekutuan melalui kerjasama dengan PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti lain.
"Saya sudah mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin semalam.
"GRS berpandangan adalah perlu pembentukan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan segera untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi sepenuhnya, khususnya dalam memuktamadkan penggubalan Bajet 2023.
"Jadi, GRS mengambil keputusan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan bersetuju membentuk Kerajaan Persekutuan bersama PN dan parti dari Sarawak iaitu GPS serta parti lain yang bersedia membentuk kerjasama," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata GRS sentiasa komited untuk membawa citra kesatuan demi kepentingan rakyat dan tanah air.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu, GRS memenangi enam kerusi Parlimen di Sabah, manakala rakan kerjasamanya di negeri ini, Barisan Nasional (BN) Sabah memenangi tujuh kerusi.
Pertemuan Hajiji dengan Muhyiddin di Kuala Lumpur semalam turut disertai Ahli Parlimen GRS yang memenangi kerusi pada PRU15 Sabtu lalu.
Antaranya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Keningau), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar) dan Lo Su Fui (Tawau).
Dua lagi Ahli Parlimen GRS ialah Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi).
Sumber I BH Online
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment