NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GPS tiada masalah bekerjasama dengan Pas - Alexander


KUCHING:
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tidak timbul isu GPS tidak boleh bekerjasama dengan Pas.

“Bagi saya, tiada masalah untuk bekerjasama dengan Pas kerana 30 bulan lepas, kita GPS dengan Pas dalam satu kerajaan pun, jadi, saya tidak melihat ada masalah.

“GPS boleh bekerja dalam satu Kabinet ataupun satu kerajaan nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Alexander berkata, isu perkauman bukan sahaja dimainkan oleh Pas, tetapi, turut dimainkan oleh DAP dan UMNO.

“Jadi, bagi saya hampir kesemua parti mainkan isu perkauman ataupun mengambil kesempatan isu perkauman.

“Namun, untuk negara kita, moving forward (bergerak ke hadapan) bukan sahaja Pas yang harus berhenti bermain dan mencanangkan isu perkauman, tetapi, semua parti politik, kumpulan dan seluruh rakyat Malaysia hendaklah berhenti menggunakan perkauman sebagai isu ataupun modal politik mereka,” tambahnya. 

Ditanya kalau isu berkaitan dengan keagamaan, Nanta menegaskan, GPS memang ada pendirian yang tegas, maka, kita mahu menegaskan mana-mana pihak termasuk Pas tidak menggunakan isu keagamaan ini secara melampau.

“Untuk menjaga kepentingan Sarawak dalam isu ini, kita akan menegaskan bahawa kita minta autonomi bagaimana di negeri Sarawak ini seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Ujar Nanta, di Sarawak tidak ada agama rasmi, jadi biar Sarawak menjaga kepentingannya sendiri.

“Semua pihak termasuk juga GPS hendaklah kurang berpolitik sebab keadaan sekarang kita terlalu lebih berpolitik.

“Kita perlu fokuskan tenaga dan minda kita untuk perkara-perkara yang lebih penting untuk kita menjaga kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. 

“Pilihan raya sudah lepas dan memang kita semua tahu keputusan tidak menentu dan sebab itu kita ada hung parliament (parlimen tergantung), jadi, agak sukar untuk tidak membincangkan politik secara berlarutan, namun, perlu kita kurangkan berpolitik dan seharusnya kita tumpukan tenaga untuk pembangunan negara, memastikan ekonomi kita cepat pulih, apatah lagi dunia diramalkan berdepan kegawatan ekonomi tahun depan,” kata beliau.

Oleh sebab itu, katanya negara perlu menyediakan sesuatu untuk menghadapi kemerosotan ekonomi global tahun depan.

Sementara itu, Nanta menjelaskan bahawa sememangnya GPS membuat pendirian untuk menyokong dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentu, menetapkan ataupun buat keputusan mana-mana pihak yang menjadi kerajaan terbaharu negara. –UTUSAN




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo