NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GPS, PH tak mungkin kerjasama lepas PRU15, kata penganalisis


PETALING JAYA:
Kerjasama antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH) selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak mungkin berlaku, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, kerjasama dengan parti Borneo bukan strategi asing dalam pada gabungan dari Semenanjung mahu membentuk kerajaan.

“GPS mungkin menang paling banyak kerusi, iaitu 27 atau 28, seterusnya menjadikannya sekutu terbaik bukan saja untuk PH, malah juga Barisan Nasional dan Perikatan Nasional,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya hubungan keruh antara GPS dan PH berkemungkinan menjadi penghalang untuk kerjasama antara mereka, khususnya selepas PH membatalkan banyak projek di Sarawak sepanjang 22 bulan pentadbirannya.

Azmi berkata, kerjasama antara PH dan parti lain di Malaysia Timur seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan boleh berlaku, namun menyifatkannya “sangat sukar”.

Beliau merujuk kepada perbalahan antara Presiden Warisan Shafie Apdal dan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang sekian lama bertelagah mengenai pilihan calon perdana menteri pembangkang.

Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, PH terbuka bekerjasama dengan gabungan di Sabah dan Sarawak bagi membentuk kerajaan, selepas pilihan raya pada 19 Nov ini. Rafizi menegaskan gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan BN dan PN sekiranya gagal memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Sementara itu, Jeniri berkata parti gabungan Sabah dan Sarawak bakal menjadi penentu siapa yang akan membentuk kerajaan.

“GPS pasti lebih selesa bekerjasama dengan BN atau PN, khususnya BN memandangkan kedua-dua gabungan ini mempunyai hubungan baik. Namun, apa saja boleh berlaku,” katanya.

James Chin dari Institut Asia University of Tasmania pula berkata, parti Borneo akan bersekutu dengan sesiapa yang memenangi majoriti di Semenanjung.

“Jadi, jika PH menang, Sabah dan Sarawak akan menyertai mereka. Bagaimanapun, masalahnya adalah sama ada PH mampu menang majoriti,” katanya.

Berhubung kerjasama dengan Warisan, Chin berkata itu tidak sepatutnya menjadi isu memandangkan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC yang mewakili golongan bukan Islam dan bukan Melayu, masih boleh bekerjasama dengan PAS dalam Jemaah Menteri.

“Mereka boleh berkhidmat dalam Jemaah Menteri sama. Jika begitu kenapa tidak Warisan dan PH?” katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo