DOHA: Cristiano Ronaldo dikecam di media sosial gara-gara meraikan gol yang bukan miliknya ketika Portugal menumpaskan Uruguay 2-0 dalam aksi kedua Kumpulan H, Piala Dunia 2022 semalam.
Detik mengelirukan itu berlaku pada minit ke-54 apabila pemain tengah Portugal,
Bruno Fernandes melakukan sepakan menakjubkan, namun pada masa sama bola kelihatan ditanduk oleh Ronaldo sebelum menerjah gawang.
Sebaik sahaja bola itu menewaskan penjaga gol lawan, Sergio Rochet, Ronaldo mula bersorak sambil berlari ke arah rakan sepasukannya yang lain kerana menjangkakan dia telah meledak gol kesembilan dalam sejarah Piala Dunia.
Gol tersebut pada mulanya diberikan kepada pemain itu tetapi selepas campur tangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), akhirnya jaringan diberikan kepada Fernandes.
Does Ronaldo get a touch on this goal? pic.twitter.com/SdW0v6NjCZ
— FOX Soccer (@FOXSoccer) November 28, 2022
Pegawai bertugas mendedahkan kepala Ronaldo tidak langsung menyentuh bola.
Seorang pengguna Twitter menulis: “Saya tidak pernah melihat pemain yang berlebihan tidak tahu malu seperti Cristiano Ronaldo, dia benar-benar cuba mencuri gol Bruno.”
“Tetapkan rekod baharu dalam #FIFAWorldCup2022. Dia (Ronaldo) pemain pertama yang mencuri gol hasil jaringan rakan sepasukan,” tulis lagi seorang peminat.
Tidak kurang juga ada yang mengulas: “Saya akan lakukan apa saja yang mampu untuk memastikan si penipu itu @Cristiano tidak menjaringkan gol. Dia cuba mencuri gol daripada Bruno. Memalukan.”
Sementara itu, Fernandes ketika diminta mengulas mengenai insiden itu menegaskan, siapa pun yang menjaringkan gol tidak penting kerana yang mustahak pasukan mereka menang.
“Saya rasa tidak penting siapa yang menjadi penjaring ketika ini.
“Saya menganggap Cristiano telah menyentuh bola itu kerana saya melakukan hantaran kepadanya.
“Apa yang penting ialah kami mara ke pusingan seterusnya menerusi kemenangan ke atas lawan yang sukar,” kata bintang Manchester United itu. – AGENSI
No comments
Post a Comment