NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

FIFA 2022 : Penantian ‘Lewangoalski’ di pentas Piala Dunia berakhir

DOHA – Penggempur sensasi Poland, Robert Lewandowski berdepan suasana penuh emosi ketika menyumbangkan satu gol untuk membantu Poland menewaskan Arab Saudi 2-0 pada aksi kedua Kumpulan C di Stadium Education City kelmarin.

Jaringan itu cukup bermakna buat penyerang Barcelona ber­kenaan memandangkan ia adalah gol sulung peribadinya di pentas Piala Dunia dan hadir ketika usianya sudah 34 tahun.

Menyedari dirinya sedang dihimpit faktor usia, Lewandowski yang gagal menyempurnakan se­pakan penalti pada pertemuan dengan Mexico, Rabu lalu seakan be­ri gambaran jelas ini adalah pe­nampilan terakhir di Piala Dunia.

“Semakin saya berusia, semakin beremosi dan saya sedar apabila tiba di Piala Dunia ini, ia mungkin menjadi penampilan terakhir saya. Apabila bermain bersama skuad kebangsaan, kamu perlu fokus terhadap keputusan, tetapi ada beberapa peratus tumpuan saya turut diberikan kepada statistik peribadi.

“Saya sentiasa mahu jaringkan gol di Piala Dunia dan kejayaan kali ini adalah satu mimpi yang jadi kenyataan,” katanya.

Terdahulu, Arab Saudi dilihat melepaskan peluang terbaik untuk mencipta kejutan kedua, biarpun sekali lagi tampil cemerlang dengan menguasai 62 peratus permainan, namun akur dengan dua gol Poland daripada Piotr Zielinski dan Lewandowski.

Arab Saudi juga wajar me­nyalahkan diri sendiri kerana penjaring gol kemenangan ketika menentang Argentina lalu, Salem Al Dawsari gagal menyempurnakan sepakan penalti pada hujung babak pertama.

Sementara itu, pengendali Po­land, Czeslaw Michniewicz mengakui bahawa kemenangan tersebut adalah penting untuk menghidupkan semula peluang mereka untuk melepasi peringkat kumpulan. – AGENSI

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo