NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fathul Bari Mat Jahya pula minta Ahmad Zahid, Azlan Man segera letak jawatan


KANGAR:
Desakan supaya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Presiden UMNO susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terus disuarakan dalam kalangan pemimpin-pemimpin parti itu.

Terbaharu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Fathul Bari Mat Jahya pula tampil menyuarakan gesaan tersebut agar Ahmad Zahid segera mengambil tanggungjawab berkenaan sama seperti ketika Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil pendekatan sama selepas kekalahan BN dalam PRU14.

Katanya, jelas penolakan yang berlaku terhadap UMNO dan BN adalah kerana rakyat tidak mahu melihat sebarang isu berkaitan integriti yang dikaitkan dengan Ahmad Zahid sekali gus turut memberi kesan kepada calon-calon lain yang berwibawa turut tewas dalam PRU15.

“Mereka perlu ambil tanggungjawab ekoran kekalahan ini dan beri laluan kepada pemimpin lain mengetuai UMNO sebelum mengadakan sebarang perbincangan mengenai hala tuju parti itu selepas ini.

“Naratif yang dimainkan sebelum ini mudah sahaja iaitu satu undi untuk BN bersamaan satu undi untuk Ahmad Zahid yang sememangnya memberi kesan kepada parti termasuk ramai calon BN lain yang berwibawa namun terpaksa menanggung kekalahan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut tampil mendesak Ahmad Zahid supaya meletak jawatan sebagai Presiden UMNO susulan kekalahan BN dalam PRU15.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN hanya meraih 30 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) yang menang 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) yang menguasai 73 kerusi Parlimen.

Sementara itu, Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian turut menggesa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan ekoran kekalahan cukup memalukan apabila gagal memperoleh walau satu kerusi.

“Azlan kena ambil tanggungjawab ini khususnya dari segi penilaian calon sebelum ini antaranya di Arau yang telah memberi kesan cukup besar. Sangat memalukan dalam sejarah BN di negeri ini kita tewas 15-0 di kerusi DUN selain kesemua tiga Parlimen di negeri ini.

“Kita terima kekalahan ini dan apa yang berlaku adalah penolakan besar-besaran rakyat terhadap BN dan kita kena terus muhasabah. Reset semula UMNO dan tampil bebas khususnya dalam soal integriti,” katanya. – UTUSAN




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo